KUALA LUMPUR – Apitherapy atau lebih sinonim dengan rawatan berasaskan sengatan lebah kini mula mendapat tempat dalam masyarakat.
Pengasas Afnan Apitherapy Centre, Rosli Khalid berkata, biar pun beliau mengusahakan rawatan itu secara senyap-senyap, namun kebaikan Apitherapy diketahui umum melalui mulut ke mulut hinggalah ke luar negara.
“Sudah sampai masa benda ini (apitherapy) didedahkan kepada umum. Kalau orang dari luar negara minta benda ini didedahkan, kalau kita tak nak buat di Malaysia, tak tahulah, jadi sangat rugi bagi kita.
“Usaha untuk mengkomersialkan Apitherapy ke seluruh dunia bermula sejak dua tahun lalu namun kami belum memberi kata putus atas dasar apa kerjasama yang akan dilaksanakan.
“Kami menerima syor tawaran daripada pihak swasta dari Australia yang sudah berjaya mengkomersialkan kaedah rawatan alternatif yang lain,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.
Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan Apitherapy adalah rawatan alternatif berasaskan sengatan dan produk lebah mampu memberi harapan baharu dan menyelamatkan nyawa pesakit kanser dan kronik.
Bisa lebah mengandungi enzim, protein, peptide dan asid amino yang digunakan dalam rawatan Apitherapy mampu menjadi penawar bukan sahaja penyakit kencing manis, bahkan banyak lagi penyakit lain.
Rawatannya mudah dengan hanya meletakkan sengat lebah di bahagian anggota badan yang sakit dan dibiarkan beberapa minit sebelum bisa serangga itu menyerap ke saluran darah.
Dalam pada itu, Rosli berkata, pihaknya bersedia mengkomersialkan Apitherapy ke seluruh negara dengan pelaburan produk lebah bernilai lebih RM40 juta.
“Setakat ini, belum ada kata putus mengenai jumlah pelaburan. Perbincangan lebih kepada platform yang akan digunakan, perlesenan antarabangsa, aspek perundangan, latihan dan pengedaran produk,” katanya.
Rosli juga memberitahu, pihaknya sedia bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membantu kerajaan dalam usaha memberi rawatan khususnya kepada penyakit kronik dan kanser di negara ini.
“Jika masyarakat luar negara sudah mula mengenali dan mencuba sendiri keajaiban Apitherapy, Malaysia bila lagi?
“Saya tak beri jaminan semua penyakit boleh diubati tapi dengan ikhtiar kita dan bertawakal kepada Allah, Alhamdulillah sejak 15 tahun dalam rawatan ini, ribuan pesakit saya ubati dan kembali sihat seperti sedia kala.
“Ramai juga bekas pesakit kanser dan kronik menjadikan Afnan Apitherapy Centre sebagai destinasi terakhir selepas disahkan menghidap kanser dan penyakit kronik tahap empat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: