File picture

KUALA LUMPUR – Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (Barim) mendakwa PadiBeras Nasional Berhad (Bernas) menaikkan harga borong beras tempatan (super spesial tempatan – SST) secara berterusan sejak awal April lalu kepada RM2,250 bagi satu metrik tan sekarang berbanding RM2,050 sebelumnya.

SST adalah beras yang mempunyai gred beras 5% hancur.

Kenaikan itu menyebabkan 140 pemborong yang menjadi ahli Barim termasuk di Sabah dan Sarawak resah kerana kenaikan itu telah menyebabkan keuntungan yang diperoleh lebih 50 sen selama ini bagi setiap 10 kilogram beras tempatan semakin merosot.

Sedangkan, dalam masa sama harga beras tempatan masih kekal pada harga siling yang ditetapkan kerajaan di bawah RM26 bagi 10 kilogram.

Presidennya, Ismail Awang berkata, ahli-ahli Barim hairan dengan kenaikan itu kerana tiada pengumuman rasmi dibuat oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

“Kalau tiada pengumuman kenaikan harga beras tempatan, bagaimana Bernas boleh menaikkan harga?

“Kami beli beras mahal, tapi jual harga sama. Daripada boleh dapat untung lebih 50 sen, sekarang jadi 20 sen sahaja,” katanya kepada MalaysiaGazette.

MalaysiaGazette difahamkan Barim ada mengemukakan isu ini pada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan namun jawapan yang diperoleh begitu mengecewakan.

“Pegawai kementerian berkata, mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana harga ditentukan oleh Bernas. Jika itu jawapannya bagaimana dengan nasib pemborong?

“Bukan Bernas sahaja yang perlu menanggung kos perniagaan, kami juga perlu menanggung kos logistik, buruh, pembungkusan dan operasi. Bagaimana dengan kos kami?,” tanya Ismail lagi.

Ismail mendakwa, selagi tiada pengumuman kenaikan harga beras tempatan oleh kementerian, bermakna peningkatan jualan harga beras tempatan oleh Bernas ini tidak menepati garis panduan yang ditetapkan di bawah Akta 522 Kawalan Padi dan Beras.

Ini kerana, jelasnya, sebarang kenaikan perlu ditentu dan diputuskan oleh kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Beliau menambah, ahli-ahli Barim juga tidak puas hati kerana tidak mendapat kuota bekalan beras yang mencukupi, selain kualiti beras tempatan yang dibekalkan tidak menepati gred 5% hancur, sebaliknya melebihi gred tersebut.

“Kerajaan telah memansuhkan beras gred 15% hancur tempatan, sekaki gus beras yang sepatut Bernas bekalkan kepada pemborong sewajarnya gred 5% hancur tetapi ini tidak berlaku,” dakwanya lagi.

Disebabkan itu, Ismail mendakwa, ada pemborong terpaksa menolak bekalan 40 tan beras kerana beras yang dihantar hancur teruk.

“Kami tidak dimaklumkan kenapa tidak dapat kuota seperti selalu dan kualitinya sebegitu tetapi inilah masalah ahli-ahli Barim sekarang,” ujarnya sambil memberitahu negara sehingga kini masih mengimport 60 peratus beras.

Ditanya adakah kenaikan beras tempatan oleh Bernas disebabkan kejatuhan ringgit, Ismail berkata, Barim tidak tahu kerana tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Bernas mahupun Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast