Muhyiddin hadir Konvensyen dan Majlis Pelancaran Jentera Perikatan Nasional Pulau Pinang di Pejabat Gerakan negeri di Jalan Macalister hari ini.

GEORGE TOWN – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengharapkan bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar akan menyertai parti itu.

Beliau yang juga Presiden Bersatu bagaimanapun menyerahkan kepada bekas Ahli Parlimen Rembau itu untuk membuat keputusan mengenai perkara tersebut.

“Kami (PN) telah menyatakan bahawa berharap dia (Khairy) akan menyertai PN tetapi kita serahkan kepadanya (untuk membuat keputusan).

Muhyiddin.

“Dia (Khairy) cukup pandai dan bijak untuk membuat pilihan,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas sama ada Khairy cenderung untuk menyertai PN atau sebaliknya.

Terdahulu, Muhyiddin hadir Konvensyen dan Majlis Pelancaran Jentera Perikatan Nasional Pulau Pinang di Pejabat Gerakan negeri di Jalan Macalister hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pagoh itu turut memaklumkan beliau akan mengadakan perjumpaan dengan Khairy minggu depan.

“Saya telah menetapkan tarikh dan dia (Khairy) bersetuju untuk bertemu minggu depan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu sehingga kini belum memuktamadkan keputusan namun menyatakan hasrat bersama PN.

Takiyuddin berkata, Khairy sudah menemui Muhyiddin baru-baru ini dan bekas Ahli Parlimen Rembau itu telah menyatakan pendirian akan tetap menjadi pengundi di Negeri Sembilan. – MalaysiaGazette