Fuziah (dua dari kiri) melancarkan treler jualan rahmah bergerak sempena Love Penang Agrofest@Pesta Mengkuang 2023 di Pulau Pinang hari ini.

PERMATANG PAUH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melakukan satu sesi libat urus bersama syarikat pengeluar susu formula susulan dakwaan kenaikan harga barangan itu.

Timbalan menterinya, Fuziah Salleh berkata, pertemuan itu akan diadakan bagi mencari solusi sekali gus meringankan beban rakyat membabitkan pembelian susu formula.

“Kita ambil maklum mengenai hal ini di mana semalam kita (sudah) bermesyuarat dalam post Kabinet berkenaan kos susu formula kanak-kanak yang dikatakan meningkat.

“Susu formula ini bukan merupakan barang yang kita kawal harga akan tetapi kita dengar keluhan orang ramai berhubung perkara itu.

“Jadi kita ambil langkah dengan mengumpulkan semua jenama susu yang kebanyakan digunakan orang ramai serta berunding dengan pengeluar berkenaan agar dapat ‘harga Rahmah’ bagi barangan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan treler jualan rahmah bergerak sempena Love Penang Agrofest@Pesta Mengkuang 2023 di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr Norlela Ariffin dan Pengarah KPDN negeri, S. Jegan.

Fuziah (dua dari kanan) bersama Norlela menunjukkan antara barangan yang dijual menerusi program berkenaan.

Tambah Fuziah, setakat ini KPDN tidak menerima sebarang aduan rasmi mengenai kenaikan harga susu formula.

Media sebelum ini melaporkan kecoh di media sosial apabila ramai mempertikaikannya.

Tindakan Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub minta tunjukkan bukti berhubung kenaikan mendadak harga susu formula kanak-kanak antara RM10 hingga RM30 seperti didakwa ibu bapa.

Turut dibangkitkan harga lampin pakai buang dan yuran bulanan taska serta prasekolah yang didakwa mengalami peningkatan ketara.

Sementara itu, mengulas mengenai program treler jualan rahmah bergerak, beliau berkata, ia bertujuan untuk memastikan program itu sampai secara terus kepada golongan sasar dengan membawa barangan keperluan harian terus ke lokasi penempatan rakyat.

Jelasnya, sebanyak RM100 juta diperuntukan bagi Jualan Rahmah Bergerak yang diluluskan di peringkat Parlimen pada April lalu.

“Pelaksanaan jualan rahmah bergerak ini akan menjelajah ke semua Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula hari ini sehingga 28 Jun depan dan ia sekali gus memberi peluang kepada rakyat Pulau Pinang membuat persediaan menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha pada minggu depan.

“Program jelajah ini akan diteruskan di semua kawasan Parlimen di negeri ini dengan kekerapan dua kali sebulan sehingga penghujung tahun ini,” katanya. – MalaysiaGazette