Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Tahfiz TVET yang turut dikenali sebagai Program Tahfiz Mahir Yayasan Pahang merupakan satu permulaan positif memperluaskan lagi bidang kemahiran buat para penuntut tahfiz di negeri ini.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, pelaksanaannya telah membuka lembaran baharu dalam bidang pendidikan kemahiran yang turut menjamin peluang pekerjaan.

“Ia sebagai platform jaminan kerjaya di masa hadapan dengan memberi peluang latihan yang jelas dan diiktiraf di peringkat nasional.

“Bertepatan dengan itulah menerusi Belanjawan Pahang 2023, Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM1 juta vagi pembangunan institusi latihan kemahiran baharu Maahad Tahfiz TVET di Penor bagi melahirkan tenaga kerja mahir dengan kapasiti 100 orang pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Konvokesyen dan Pentauliahan Kemahiran Malaysia KYP Advanced Skills 2023 di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan hari ini.

Dalam majlis yang turut dihadiri Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah KYP Advanced Skills, Datuk Ahmad Munawar Abd Jalil, seramai 290 orang graduan terdiri daripada 154 orang dari Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan 136 orang dari Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) menerima Pentauliahan Kemahiran Malaysia.

Wan Rosdy berkata, pencapaian pelajar dan graduan Kolej Yayasan Pahang Advanced Skills membuktikan bahawa institusi tersebut mampu melahirkan insan berkualiti tinggi dari pelbagai aspek.

“Saya bangga dengan pencapaian-pencapaian yang telah dicapai oleh KYP Advanced Skills melalui dana Yayasan Pahang melatih 3,470 orang pelatih program jaminan kerjaya dalam sektor minyak dan gas, perkapalan dan pelabuhan seterusnya memastikan mereka memperoleh pekerjaan dan pendapatan tinggi,” ujarnya.

Selain itu, Wan Rosdy turut memuji kepakaran tenaga pengajar KYP Advanced Skills dalam melatih pelajar-pelajar SKM sehingga berjaya mewakili Malaysia ke World Skills Asia yang akan datang.

Pelajar tersebut telah memenangi pingat perak di IKA Culinary Olympics di Stuttgart, Jerman selain pencapaian merangkul 20 pingat di Pertandingan Kulinari Battle Of The Chef Penang serta 14 pingat untuk pertandingan Malaysia Culinary World Cup 2023,” tambahnya.

Kata Wan Rosdy, anugerah “The Most Admired TVET Training Provider in Malaysiaā€¯ yang diterima KYP Advanced Skills pada tahun lalu amat tepat di atas semua pencapaian yang dihasilkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast