KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Polis Diraja Malaysia menyerbu 10 buah bengkel di Perak dan Selangor yang dipercayai menyimpan bongkah enjin lori yang disyaki dicuri menerusi Op Lejang yang dilakukan pada 12 hingga 16 Jun lalu.
Sumber memberitahu, suspek utama berusia 30 tahun yang mewarisi daripada bapanya mempunyai kepakaran dan peralatan untuk memadamkan nombor casis enjin lori.
“Dengan rampasan peralatan-peralatan tampering ini, tiada lagi sindiket yang mempunyai alat-alat khas sebegini kerana amat sukar mendapatkan serta membuatnya kerana alat-alat ini di warisi dari bapa suspek,” katanya kepada Malaysia Gazette, hari ini.
ARIKEL BERKAITAN: Op Lejang Khas lumpuhkan sindiket curi kenderaan berat
Sementara itu, sumber menambah seramai 18 suspek lelaki yang ditangkap dalam operasi itu terdiri daripada tujuh warga tempatan, lapan warga Indonesia dan tiga warga Myanmar berusia 40 tahun ke atas.
Menurutnya, siasatan mendapati hanya tiga suspek merupakan ahli sindiket manakala selebihnya ialah pemilik, penyelia dan pekerja bengkel.
“Tiga suspek utama yang ditangkap di Perak adalah sindiket tampering manakala pemilik bengkel yang ditangkap sekitar Selangor dan Perak berperanan membenarkan premis mereka digunakan untuk kerja tampering enjin lori.
“Polis masih menyemak dan menyiasat sama ada segala bongkah enjin lori yang dirampas adalah hasil curi sindiket itu tetapi disyaki ia dicuri dari lori lain untuk dipasang di kenderaan berat lain.
“Modus operandi sindiket curi enjin lori adalah suspek utama dari Perak akan menerima tempahan dari bengkel sebelum mengarahkan ‘doktor’ (pakar) ketuk enjin untuk hadir setiap lokasi yang mana dalam satu masa ‘doktor’ akan mengetuk tiga hingga empat enjin lori,” katanya.
Sumber itu berkata, pemilik bengkel terbabit akan mendapat upah ketuk enjin daripada suspek utama dan mengeluarkan resit bayaran kepada bengkel.
Sementara itu, Dalam pada itu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan rampasan itu.
Katanya, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 413 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, JSJ Bukit Aman menerusi laman Facebook semalam menyatakan dalam serbuan yang dilakukan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan itu merampas 21 buah lori, bongkah enjin serta peralatan mengetuk casis enjin dengan keseluruhan rampasan bernilai RM2.1 juta. – MalaysiaGazette