SHAH ALAM – Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari mengesahkan agihan kerusi Pakatan Harapan (PN) – Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor sudah selesai lebih 95 peratus.
Beliau berkata, ketika ini hanya tinggal satu atau dua kerusi yang akan dimuktamadkan oleh pimpinan pusat.
“Sekarang ini saya rasa perbincangan telah tamat dan kita hanya satu, dua kerusi yang perlu dimuktamadkan.
“Dan itu biar pusat tetapkan dan kita serahkan kepada presiden atau peringkat parti atasan untuk muktamad.
“Penyelesaian yang sangat baik dan lebih 95 peratus sudah selesai dan 95 peratus itu sudah boleh bekerja pada bila-bila masa. Insya-Allah dalam masa terdekat saya akan maklumkan kepada pihak pimpinan negeri dan pusat tentang hal ini.
“Kita semua pihak bersiap sedia dan bergerak untuk memastikan kejayaan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat Selangor Mega Job Fair 2023 di Pusat Konvensyen MBSA di sini hari ini.
Mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri, Amirudin berkata, beliau tidak mahu mendahului Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk mengumumkan keputusan yang belum mendapat perkenan baginda.
Sehingga kini, Kelantan bercadang membubarkan DUN pada 22 Jun, manakala Pulau Pinang dan Negeri Sembilan pula dijangka pada 28 dan 30 Jun ini.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), enam negeri melibatkan Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Terengganu, Kedah dan Kelantan tidak membubarkan DUN. – MalaysiaGazette