Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek untuk mencari hampir 30,000 pelajar yang tercicir ujian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun lalu.

Anwar berkata, kelompok tersebut tidak boleh dibiarkan daripada terus terciri kerana majoriti merupakan golongan miskin.

Tambah beliau, kumpulan itu seharusnya diberikan peluang kedua untuk menduduki semula SPM atau beralih ke Program Pusat Latihan Teknikal Dan Vokasional (TVET).

“Majoritinya desa dan miskin bandar. Majoriti Melayu dan sebahagian anak-anak India.

“Apa penyelesaian dia? Menunjukkan kelemehan masa itu. Saya beritahu Menteri Pendidikan harus tangani ini sebagai satu masalah yang kita warisi. Bagaimana menyelesaikannya? Saya minta Kementerian Pendidikan cari semula 30,000 itu.

“Kalau dia sedia ambil SPM kita beri dia peluang kedua. Kalau dia masuk TVET kita hantar dengan skim lebih baik. Kita tidak boleh biar begitu kerana majoriti 30,000 itu miskin,” tegas Perdana Menteri.

Beliau berkata demikan dalam program ‘Temu Anwar’ yang berlangsung di Universiti Malaysia Kelantan.

Pada 13 Jun lalu Anwar menyindir bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berikutan seramai 30,000 pelajar direkodkan tidak menduduki peperiksaaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.

Anwar berkata, perkara itu dimaklumkan Fadhlina yang meminta laporan dan kajian teliti untuk dilakukan berkaitan perkara terbabit.

Menurut Anwar, jumlah tersebut adalah membimbangkan dan merupakan masalah yang serius buat pendidikan negara.

Sementara itu Anwar berkata, beliau akan membawa isu Tingkatan Enam ke dalam mesyuarat Jemaah Menteri Rabu ini bagi tujuan penambahbaikan.

“Bagiamana nak tarik minat pelajar ke Tingkatan Enam tentunya terkait dengan peluang selepas tingkatan enam dan saya setuju walaupun tingkatan enam itu dalam gedung sekolah harus berikan sedikit kelongaran.

“Saya rasa sistem persekolahan itu harus berakhir ditingkatan 5. Tingkatan enam itu harus dianggap sebagai sedikit dewasa.

“Saya akan bawa ini ke dalam mesyuarat Jemaah Menteri Rabu ini. Kena ada berapa langkah untuk menarik,” katanya.

Beliau menjawab soalan seorang pelajar yang bertanya apakah langkah kerajaan untuk meningkatkan lagi minat pelajar untuk menyertai Tingkatan Enam sekali gus menduduki Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). – MalaysiaGazette