Ahmad Nazim Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Boustead Holdings Bhd (BHB) telah melantik semula pengerusi bukan eksekutif bukan bebas kumpulan itu, Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman sebagai Pengerusi eksekutif berkuat kuasa hari ini, untuk menerajui penstrukturan semulanya.

Dalam satu kenyataan, BHB berkata, Ahmad Nazim, yang juga Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) telah dilantik sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Bukan Bebas BHB pada 2 Mac 2023.

Dagangan saham BHB akan digantung esok, 20 Jun sebelum penarikan balik status penyenaraiannya daripada senarai rasmi Bursa Malaysia Securities, selaras dengan perenggan 16.07 Keperluan Penyenaraian susulan pengambilalihan oleh LTAT.

“Kumpulan ini akan menjalani proses penstrukturan semula yang komprehensif untuk menyelesaikan isu-isu yang dihadapi oleh syarikat teras dalam konglomerat melalui pelbagai langkah transformasi,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BHB Izaddeen Daud berkata, pelantikan semula ini akan memperkukuh kepimpinan kumpulan itu, selain memberi panduan strategik dan keyakinan kepada entiti tersebut untuk melakarkan masa depan yang lebih baik.

“Kami melihat penstrukturan semula BHB tepat pada masanya dan penting untuk memastikan kemampanan dan daya tahan kumpulan untuk tahun-tahun akan datang.

“Pelantikan semula ini membolehkan kami mengoptimumkan portfolio dan memperuntukkan sumber kepada kawasan yang menawarkan potensi pulangan yang lebih tinggi, memacu pertumbuhan yang mampan sambil memaksimumkan pulangan.

“Kami menantikan penjajaran strategi dengan LTAT dan berusaha ke arah tujuan bersama, memberikan pulangan yang mampan kepada angkatan tentera,” tambahnya. – MalaysiaGazette