Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki bergelar Datuk Seri dan digelar ‘mafia korporat’ diberkas polis selepas disyaki melakukan ugutan jenayah terhadap ahli perniagaan di sebuah restoran di Jalan Dutamas di sini dalam dua kejadian berasingan yang berlaku pada 6 JUn dan 14 Jun lalu.

Menurut sumber, kejadian berlaku ketika ahli perniagaan warga tempatan berusia 63 tahun itu mengadakan pertemuan bersama suspek berusia 54 tahun itu dan seorang lagi rakan di ibu negara.

Semasa kejadian, suspek dipercayai tidak puas hati apabila mangsa tidak menunaikan permintaan supaya melantiknya dan seorang lagi rakan sebagai pengarah syarikat.

“Suspek turut didakwa menunjukkan sepucuk pistol yang diselit pada seluar sambil mengugut mahu menembak mangsa manakala dalam pertemuan kedua pula, suspek sekali lagi mengugut dan menampar mangsa menyebabkan berlaku pertengkaran kecil sebelum dileraikan seorang rakan mereka,” katanya.

Rentetan insiden itu, mangsa difahamkan telah tampil membuat laporan polis di Sentul untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari ketika dihubungi telah mengesahkan menerima satu laporan daripada mangsa.

Kes berkenan sedang disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

“Siasatan kes ini sudah dibuat dan kini berada di peringkat akhir penyiasatan untuk dilengkapkan dan kertas siasatan lengkap akan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk arahan lanjut,” tegas Ahmad Sukarno. – MalaysiaGazette