Gambar hiasan.

AMPANG – Seorang pemungut sampah cedera ditikam dengan pisau oleh rakan sekerjanya gara-gara tidak berpuas hati mangsa menerima gaji yang lebih lumayan.

Kejadian yang berlaku di tepi Jalan Pandan Cahaya Ampang Jaya pada 16 Jun lalu kira-kira jam 9 malam itu mengakibatkan mangsa, 39, mengalami kecederaan di pipi dan tangan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, mangsa telah didatangi oleh lima orang lelaki waarga asing sebaik sahaja turun dari lori sampah yang dipandunya di Jalan Cahaya.

Tiba-tiba salah seorang suspek datang ke arahnya dan menikam pipi kiri dan lengan kiri sehingga berdarah.

“Sejurus itu, kesemua suspek terus melarikan diri dan mangsa mengalami kecederaan mendapat rawatan di Hospital Ampang berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bertindak atas aduan mangsa, polis telah membuat serbuan di Flat di Taman Impian Warisan, Hulu Langat pada 17 Jun, lebih kurang 5.10 petang dan menahan lima lelaki berusia 23 hingga 27 tahun.

Kesemua mereka kini direman sehingga 21 Jun ini untuk membantu siasatan lanjut polis di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dengan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya.

Pihak polis juga masih mengesan rakan sejenayah suspek yang turut berada di tempat kejadian untuk membantu siasatan.

Jika disabitkan kesalahan hendaklah pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai 10 tahun atau dengan denda, atau dengan sebat, atau dengan mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu. – MalaysiaGazette