Dr Zaliha merasmikan Persidangan Global Association of Clinical Officers and Physician Associates (GACOPA) di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) bersedia untuk menambahbaik langkah-langkah menangani isu tekanan dan kesihatan mental dalam kalangan pegawai perubatan.

Bagaimanapun, menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, langkah-langkah sedia ada pada masa ini sudah mencukupi.

Langkah berkenaan termasuk talian bantuan menerusi Heal 1555 dan kaunseling daripada jabatan di hospital bertugas masing-masing.

“Langkah-langkah yang sedia ada bagi saya agak mencukupi tapi kalau kita lihat ia perlu ditambah baik saya pasti kita perlu lakukannya.

“Saya minta mana-mana sahaja petugas kita yang ada masalah emosi, tekanan dan sebagainya kita ada ruang dan tempat untuk konsultasi, ambil peluang itu dan saya harap kita semua khususnya petugas kesihatan menjaga kesihatan diri.

“Harap perkara ini tidak terus berulang tapi apa pun kita akan lakukan siasatan dengan lebih terperinci mengenai hal ini,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Persidangan Global Association of Clinical Officers and Physician Associates (GACOPA).

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kematian dua petugas kesihatan di Klang baru-baru ini.

Dilaporkan kedua-dua petugas perubatan tersebut  mengalami tekanan.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, KKM serius untuk memastikan kesihatan mental petugas perubatan antara agenda utama kementerian berkenaan.

Perkara berkenaan turut dimasukkan dalam Kertas Putih yang dibentangkan dalam Dewan Rakyat baru-baru ini.

“Masalah mental ini adalah sebahagian daripada penyakit tidak berjangkit (NCD) dan kita kalau tengok dalam Kertas Putih KKM memang kita beri keutamaan dalam tonggak kedua jadi itu sebahagian daripada langkah sedia untuk memastikan perkara seperti ini menjadi perhatian kementerian,” jelasnya.

Menurut Dr Zaliha, sehingga kini polis masih menyiasat kes kematian yang masing-masing berlaku pada 4 dan 6 Jun  lalu melibatkan kakitangan KKM.

Terdahulu, beliau berkata, seluruh warga KKM terkesan dengan kematian dua petugas perubatan tersebut.

Sebagai rekod, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim mengesahkan salah seorang daripada petugas perubatan yang meninggal dunia berkenaan merupakan doktor di sebuah klinik kesihatan di Selangor. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

JKNS siasat kematian mengejut dua petugas kesihatan