Bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melanjutkan tarikh pendaftaran peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Tahun 2023 bagi calon persendirian sehingga 30 Jun 2023 (Jumaat) pada pukul 6 petang.

Lanjutan ini juga bagi memberi peluang kedua kepada hampir 30,000 calon SPM 2022 yang tidak menghadiri untuk menduduki peperiksaan itu.

“Selaras dengan teras keempat Nadi Keunggulan KPM yang memberi perhatian terhadap isu keciciran pendidikan dan hasrat murni Perdana Menteri agar peluang kedua diberikan kepada hampir 30,000 calon SPM Tahun 2022 yang tidak hadir untuk menduduki peperiksaan SPM 2022,” kata KPM dalam kenyataan hari ini.

Pendaftaran peperiksaan SPM Tahun 2023 dilaksanakan secara dalam talian melalui aplikasi Sistem Pengurusan Peperiksaan Atas Talian (SPPAT) di pautan sppat.moe.gov.my.

Calon perlu mematuhi syarat-syarat pendaftaran yang telah ditetapkan serta perlu membuat bayaran asas dan bayaran mata pelajaran yang hendak didaftarkan.

Namun, permohonan pendaftaran peperiksaan bagi calon lepasan SPM Tahun 2022 adalah dikecualikan daripada fi bayaran lewat daftar.

Manakala pendaftaran peperiksaan bagi calon persendirian, selain calon lepasan SPM Tahun 2022 masih tertakluk kepada syarat-syarat pendaftaran sedia ada.

Maklumat lanjut berkaitan pendaftaran peperiksaan SPM Tahun 2023 bagi calon persendirian boleh diperoleh daripada laman sesawang LP di pautan lp.moe.gov.my.

“KPM sentiasa prihatin dengan masa depan anak-anak bakal peneraju negara dan berharap agar calon-calon lepasan peperiksaan SPM Tahun 2022 menggunakan sepenuhnya peluang yang diberikan untuk menduduki dan memperbaiki keputusan peperiksaan SPM masing-masing.

“KPM juga sentiasa berusaha memastikan anak-anak mendapat peluang pendidikan yang berkualiti demi membangunkan Malaysia Madani,” tambahnya.  – MalaysiaGazette