Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa menyampaikan modul sebagai simbolik pelancaran kepada Presiden Majlis Kebangsaan Orang Buta, Datuk Rosalind Chew Bee Koh pada Majlis Perasmian Persidangan Kenali Ubat Anda Peringkat Kebangsaan 2023 di Dewan Sri Siantan,Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 20 JUN 2023.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) melangkah setapak ke hadapan dengan memperkenalkan Program Duta Kenali Ubat Anda untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) penglihatan, pendengaran dan pertuturan.

Menurut menterinya, Dr Zaliha Mustafa, inisiatif tersebut merupakan komitmen KKM dalam memastikan masyarakat pelbagai latar belakang mendapat hak dan informasi yang tepat dan sahih tentang kesihatan terutamanya berkenaan penggunaan ubat secara rasional.

“Harapan saya, wakil masyarakat dari golongan OKU ini yang juga bertindak sebagai ejen kesihatan komuniti akan turut membantu KKM dalam memberi maklumat dan mendidik komuniti OKU masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Persidangan Kenali Ubat Anda Peringkat Kebangsaan 223 dan pelancaran Program Duta Kenali Ubat Anda untuk OKU Penglihatan, Pendengaran dan Pertuturan di Kompleks Perbadanan Putrajaya hari ini.

Dalam masa yang sama, Dr Zaliha berharap supaya ahli farmasi dan duta program tersebut bekerjasama supaya dapat merapatkan jurang antara profesional kesihatan dengan komuniti OKU.

Sebagai rekod, KKM pada 6 Januari lalu telah melancarkan Inisiatif Label Ubat Mesra OKU penglihatan bagi memudahkan golongan berkenaan mendapat maklumat tepat berkenaan pengambilan ubat.

Inisiatif tersebut dilaksanakan di 250 fasiliti kesihatan terpilih di seluruh negara yang  memanfaatkan seramai 55,000 OKU Penglihatan.

Dalam pada itu, menurut Dr Zaliha, sebanyak 5,000 aktiviti program Kenali Ubat Anda diadakan setiap tahun sebagai usaha mempromosikannya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast