PUTRAJAYA – Kekosongan jawatan doktor kontrak akibat penyerapan tetap akan diganti dan diisi semula bagi mengelak wujudnya krisis kekurangan tenaga.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya akan memastikan perkhidmatan penjagaan kesihatan awam tidak terjejas ekoran penyerapan lebih kurang 4,000 doktor kontrak ke perjawatan tetap.
“Jadi kita tidak akan meminggirkan doktor-doktor ini, bila masuk penempatan tentu ada penggantian selepas itu, semua itu kita pertimbangkan.
“Jangan bimbang kemaslahatan petugas kita kita akan ambil prihatin,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Kenali Ubat Anda Peringkat Kebangsaan 2023 dan pelancaran Program Duta Kenali Ubat Anda untuk OKU Penglihatan, Pendengaran dan Pertuturan di Kompleks Perbadanan Putrajaya hari ini.
Mengulas lanjut, D Zaliha berkata, Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) sentiasa mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak dan mengambil kira pandangan mengenai perkhidmatan kesihatan awam.
“Dalam HLC itu juga ada jawatankuasa kerja yang juga telah melakukan beberapa pendekatan dan mengambil kira pelbagai pandangan. Yang kita lakukan termasuk pertemuan dengan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan beberapa pihak lain supaya kita dapat hasilkan satu yang terbaik,” jelasnya.
Semalam dilaporkan Hartal Doktor Kontrak (HDK) menyuarakan kebimbangan terhadap potensi wujudnya masalah kekosongan jawatan di klinik dan hospital kerajaan yang bakal mengganggu kelancaran perkhidmatan kesihatan negara.
Pertubuhan itu menyifatkan perjawatan tetap merupakan langkah terpuji bagi menyelesaikan masalah ketidakpastian perjawatan, walaubagaimanapun kekosongan berskala besar akan berlaku di jabatan, hospital dan klinik yang mereka pernah berkhidmat.
Dr Zaliha sebelum ini mengumumkan pengiklanan 4,914 kekosongan jawatan tetap.
Ia membabitkan 4,263 Pegawai Perubatan, 355 (Pegawai Pergigian) dan 316 (Pegawai Farmasi).- MalaysiaGazette