Karnival Kerjaya anjuran UTeM menjadi platform yang amat bermakna buat para pelajar dan pencari kerja.

KUALA LUMPUR – Karnival Kerjaya National Aspire Career Fair UTeM X MyFuturejobs 2023 (NATIONAL ASPIRE’23) anjuran Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) memberikan nafas lega buat golongan pencari kerja.

NATIONAL ASPIRE’23 yang julung-julung kali diadakan ini telah diadakan selama dua hari bertempat di Dewan Canselor, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka, baru-baru ini.

Pengarah Program yang merupakan pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer, Nurul Ain Sabirah Abd Rahim, 22, berkata, program ini telah berlangsung dengan jayanya mendapat sambutan hebat.

Katanya, sambutan diterima adalah daripada pelbagai golongan iaitu golongan pelajar serta masyarakat setempat yang bukan hanya dari negeri Melaka malahan pencari kerja dari negeri lain.

Sementara itu, pelajar UTeM, Muhammad Khairul Syakirin Syahrul Kamal, 24, berkata program ini boleh juga dikatakan sebagai platform khidmat masyarakat yang mana dapat membantu mencari peluang kerjaya dalam pelbagai bidang.

“Syarikat-syarikat yang terlibat dalam karnival ini adalah terdiri daripada pelbagai bidang dan industri sekaligus memberikan lebih variasi peluang pekerjaan kepada pencari kerja bagi mendapatkan kerjaya pilihan,” ujarnya lagi.

Sementara itu salah seorang pencari kerja, Falah Muzfazli, 25, sangat gembira kerana UTeM telah menganjurkan festival kerjaya ini dan berpandangan program seumpama ini perlu dilakukan lagi di luar sana bagi membuka jalan buat anak muda.

Ujarnya, meskipun dirinya berjalan menggunakan tongkat akibat kemalangan, kini tiga agensi pekerjaan telah menerimanya bekerja dan beliau akan mula berkerja pada Jun ini.

“Kekurangan bukanlah satu halangan bagi beliau untuk meneruskan perjalanan setelah dirinya ditimpa kemalangan, selagi boleh berjalan dan dapat menggerakkan tubuh adalah peluang baginya dapat bekerja,” ujarnya lagi sewaktu ditemubual di sini.

NATIONAL ASPIRE 23 merupakan anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), UTeM dan Pusat Pengurusan Alumni dan Kebolehpasaran Graduan (PPAKG), Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UTeM.

Dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan kerjasama Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dan Centre For Enterprise and Technopreneurship Development (CREATE).

Pengarah PPAKG UTeM, Dr Hazli Rafis Abdul Rahim berkata, sebanyak lebih 41 syarikat, industri dan agensi tempatan serta multinasional menyertai NATIONAL ASPIRE’23 ini dengan menawarkan ribuan peluang pekerjaan.

“Lebih menarik pada karnival kerjaya ini banyak syarikat yang menawarkan gaji yang sangat manarik sebagai contoh syarikat ON Semiconductor yang menawarkan gaji premium sebanyak RM 4,000.00 ke atas sebulan.

“Sementara itu, dapatan daripada syarikat-syarikat atau majikan terlibat menyatakan secara keseluruhannya mereka amat berpuas hati dengan sambutan yang diterima dan mereka berjaya mendapat ramai calon-calon pekerja seperti yang diinginkan.

“Bagi mereka yang kurang bernasib baik mendapat tempat disebabkan 2 faktor iaitu calon yang tidak mempunyai pengalaman berkaitan dan pelajar yang masih mempunyai baki tempoh pengajian yang lama,” ujarnya lagi.

Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin melahirkan rasa gembira dari aspek kelancaran perjalanan karnival kerjaya ini dan impak yang berangkai hasil daripada pelaksanaannya.

Mengulas lanjut beliau menyatakan antara lain menariknya karinival kerjaya ini turut mengenengahkan kerjaya dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang sedang hangat diperkatakan kini.

“TVET adalah bidang yang terus menjadi tumpuan negara pada masa kini dan karnival kerjaya anjuran UTeM ini tentunya menjadi ledakan yang memperhebatkan bidang TVET ini,” katanya lagi kepada pihak media. – MalaysiaGazette