GEORGE TOWN – Tindakan pantas orang awam berjaya menahan seorang lelaki yang meragut wanita warga asing dalam kejadian di Jalan Macalister di sini, pada Ahad lalu.
Suspek berusia 46 tahun itu ditahan kira-kira 11.45 malam sebelum diserahkan kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, hasil siasatan mendapati suspek menunggang motosikal jenis Honda EX-5 itu meragut beg mangsa sebelum gagal melarikan diri dan diberkas orang awam.
“Hasil semakan mendapati motosikal yang ditunggangi suspek merupakan motosikal curi yang dilaporkan hilang dalam daerah Timur Laut.
“Selain itu, semakan lanjut mendapati suspek mempunyai lapan rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Tambah Soffian, hasil saringan air kencing juga mendapati suspek positif tiga jenis dadah termasuk methamphetamin
“Suspek direman selama lima hari sehingga 23 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan,” kata beliau. – MalaysiaGazette