Seorang pemandu treler didakwa di Mahkamah Trafik Kuantan kerana mengakibatkan kematian dua beradik perempuan dalam kemalangan di Lepar Hilir pada 13 Jun lalu.

KUANTAN – Seorang pemandu treler didakwa di Mahkamah Trafik di sini kerana mengakibatkan kematian dua beradik perempuan dalam kemalangan di Lepar Hilir pada 13 Jun lalu.

Tertuduh, Muhammad Noor Azwan Abd Saman, 31, membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Majistret Fatimah Abu Bakar.

Dalam kertas pertuduhan, dia didakwa tidak cermat memandu sebuah treler tangki di atas jalan raya sehingga telah menyebabkan kematian dua mangsa pada hari kejadian.

Kedua- dua mangsa, Siti Nur Alia Saffiyah Zulkifli, 17, dan Siti Mazurah Zulkifli, 30, meninggal dunia dalam nahas berhampiran lampu isyarat Felda Lepar Hilir.

Muhammad Noor Azwan didapati melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta333/87 Pindaan 1999) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Bagi kesalahan itu, hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada lima dan tidak lebih daripada 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM50,000.

Tertuduh juga hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tempoh tidak kurang dua tahun daripada tarikh sabitan jika sabitan kedua dan seterusnya hilang kelayakan selama 10 tahun.

Manakala jika memiliki lesen percubaan lesen, ia akan dibatalkan oleh mahkamah.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Fadhlin Hani Khairon memohon mahkamah jaminan sebanyak RM15,000.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah pengurangan jaminan dengan alasan beliau merupakan ketua keluarga dan mempunyai tanggungan ibu, isteri dan tiga anak.

Mahkamah kemudian membenarkan Nor Azwan dibenarkan ikat jamin RM7,000 dan kes disebut semula pada 21 Julai ini. -MalaysiaGazette