KUALA LUMPUR – Lebih 82 peratus rakyat Malaysia berpendapat, Airbnb bukan sahaja memacu aktiviti ekonomi, tetapi juga membolehkan penduduk tempatan menjana pendapatan tambahan.
Sebanyak 84 peratus daripada responden bersetuju bahawa Airbnb menjana peluang bagi pemilik perniagaan tempatan, manakala 77 peratus berpendapat Airbnb menawarkan pengalaman yang tulen, bersifat tempatan, dan luar biasa kepada pelancong.
Malah, lebih dua per tiga (67 peratus) rakyat Malaysia yang ditinjau percaya menyewa rumah melalui Airbnb memberi impak positif kepada komuniti mereka dan penduduknya.
Hasil tinjauan Clearpath Strategies ini turut mendedahkan sokongan kukuh terhadap penginapan sewaan jangka pendek (STRA) dalam kalangan rakyat Malaysia dengan enam daripada 10 responden berkata STRA memberikan rangsangan ekonomi kepada kejiranan pinggir bandar serta meningkatkan hasil pelancongan bagi komuniti mereka.
Dalam pada itu, 75 peratus berpendapat rakyat Malaysia harus dibenarkan menggunakan lebihan pangsapuri kosong sebagai STRA bagi menangani masalah hartanah yang tidak terjual di kawasan-kawasan termasuk Pulau Pinang, Johor, Kuala Lumpur dan Selangor.
“Dari tinjauan yang dibuat mendapati kebimbangan terbesar dalam kalangan rakyat Malaysia yang ditinjau adalah kenaikan kos akan lebih menyukarkan orang ramai untuk melancong.
“Sebab utama rakyat Malaysia menggunakan Airbnb kerana ia membolehkan keluarga melancong dengan cara yang lebih berpatutan dan selesa, selain memacu pelancongan negara dan menjana pendapatan tambahan untuk penduduk tempatan yang menyewakan rumah mereka,” menurut hasil tinjauan tersebut.
Dengan kembalinya pelancongan domestik dan antarabangsa, Airbnb menyaksikan minat yang kian meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia untuk melancong dan menjadi hos melalui platform tersebut.
Hampir 60 peratus daripada responden berkongsi mereka mungkin akan melancong dengan menggunakan Airbnb dalam tempoh 12 bulan akan datang, manakala 40 peratus mungkin akan menjadi hos di platform tersebut dalam tempoh yang sama. – MalaysiaGazette