Shahrir Abdul Samad
Shahrir Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menasihatkan  Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membubarkan sahaja Kementerian Ekonomi yang diterajui Rafizi Ramli.

Dakwa beliau, Kementerian Ekonomi langsung tidak berkesan dalam merencanakan ekonomi negara kerana tiada perubahan sejak ia dipimpin oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“(Datuk Seri Anwar Ibrahim) DSAI tak payah ikut struktur Jemaah Menteri Kerajaan PH 1.0. Bubar sahaja jawatan Menteri Ekonomi itu.

“Dulunya, Azmin Ali pegang jawatan itu. Tak berkesan pun. Sekarang, Rafizi pula,” katanya di Facebook rasmi beliau, hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Johor Bharu itu merujuk kepada laporan media mengenai kenyataan Rafizi bahawa Kerajaan Perpaduan tidak akan campur tangan mengenai isu kejatuhan ringgit dan pasaran modal.

Jelas Shahrir, kementerian itu tidak berjaya untuk menangani masalah ekonomi yang menghimpit masyarakat hari ini.

Lantaran itu, lebih baik ia dibubarkan, kata Shahrir.

“Sama juga. Lagi tidak berkesan, ekonomi negara dan ekonomi rakyat semakin tergugat,” katanya lagi.

Semalam, Rafizi berkata,  tiada sebarang perbincangan dibuat oleh kerajaan untuk terbabit secara terus dalam mengimbangi kejatuhan pasaran modal dan ringgit yang mencetuskan kebimbangan banyak pihak pada masa ini.

Menurutnya, kerajaan melihat setiap campur tangan bagi menyokong pasaran modal dan ringgit akan membabitkan kos yang besar, yang mana dana itu sepatutnya disalurkan kepada keperluan rakyat dan pembangunan ekonomi Malaysia.

Beliau berkata, kerajaan akan menunggu impak positif yang akan terhasil menerusi penstrukturan semula ekonomi termasuk langkah subsidi bersasar yang dilaksanakan secara berperingkat.

“Kerajaan akan lihat perkembangan dan hasil pelaksanaan penstrukturan ekonomi dan subsidi bersasar. Selepas itu, kita akan lihat konsolidasi fiskal akan berlaku untuk menyokong pasaran modal dan ringgit.

“Saya jangkakan kita akan melihat kesan penstrukturan ekonomi dan konsolidasi fiskal menjelang akhir tahun termasuk selepas pembentangan Belanjawan 2024 pada Oktober ini. Buat masa ini, tiada cadangan untuk campur tangan,” katanya semalam.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast