Cheng Sing didakwa di Mahkamah George Town hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian terhadap wanita pada Mei lalu.

GEORGE TOWN – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jenayah di sini, hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian terhadap wanita di Jalan Loh Poh Heng, Tanjung Bungah pada 8 Mei lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Oo Cheng Sing, 28, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang juga guru muzik sambilan itu didakwa memandu sebuah kereta dalam  keadaan berbahaya kepada orang awam di Jalan Loh Poh Heng pada jam 10.20 pagi sehingga menyebabkan kematian seorang wanita berusia 59 tahun.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,  jika sabit bersalah  boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atikah Asharaf Ali manakala tertuduh diwakili peguam, Zainal Akram Zainal Azahar.

Ketika prosiding Nurul Atikah mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 namun Zainal Akram memohon jaminan pada kadar minimun atas faktor anak guamnya hanya pendapatan bulanan sekitar RM2,000 selain memberi kerjasama yang baik untuk hadir ke mahkamah selepas dihubungi pihak polis.

Nur Melati Diana kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga menetapkan 26 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Media pada 12 Mei lalu melaporkan polis menahan enam individu bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan membabitkan keluarga mangsa kemalangan maut di Tanjung Bungah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast