Datuk Razarudin Husain @ Abd Rasid

KUALA LUMPUR – Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rasid dilantik sebagai Ketua Polis Negara selama dua tahun berkuatkuasa mulai 23 Jun 2023 sehingga 22 Jun 2025.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelantikan itu dibuat setelah diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan nasihat Perdana Menteri.

“Pelantikan itu selaras dengan Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan dan atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis dengan pelantikan kontrak selama dua tahun.

“Kerajaan mengucapkan syabas dan tahniah di atas pelantikan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Razarudin, 61, dilahirkan pada 15 Mac 1963 di Dengkil, Selangor mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Sains Sosial Pengajian Kepolisan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia dan menjawat pelbagai jawatan di peringkat negeri dan kontinjen.

Beliau memulakan tugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kedah sebagai Pegawai Penyiasat pada 1984 dan meneruskan khidmat di jabatan tersebut sehingga 1996 dengan pangkat Penolong Penguasa Polis (ASP) di Muar, Johor.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai ASP Pentadbiran di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar dan seterusnya dilantik sebagai Ketua Bahagian Pengurusan di daerah sama pada 1997.

Pada 1998 beliau kembali bertugas di JSJ Daerah Muar sebagai Pegawai Penyiasat Kanan dan di jabatan yang sama di Kontinjen Johor.

Pada 2000, beliau meneruskan khidmat di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kluang sebelum menyambung pelajaran di Maktab PDRM Cheras.

Kemudian beliau ditempatkan di JSJ Daerah Kota Setar dan dinaikkan pangkat ke Timbalan Penguasa Polis (DSP) dengan memegang jawatan sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Sandakan.

Selepas itu, beliau dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kudat dan berkhidmat selama tiga tahun di situ.

Beliau kembali ke JSJ Bukit Aman di Operasi Khas D8 dengan pangkat Superintenden dan menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana.

Sekembalinya dari pengajian, beliau dinaikkan pangkat ke Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) dan ditempatkan sebagai Penolong Pengarah D9, JSJ Bukit Aman.

Setelah itu beliau dinaikkan pangkat ke Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) dengan menjawat jawatan sebagai Timbalan Komander, Special Task Force On Organise Crime (STFOC), Skuad Taktikal Khas 1 (Jenayah), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sebelum ke Kontinjen Pulau Pinang sebagai Ketua JSJ.

Beliau dinaikkan pangkat ke Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah dan dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Perak dua tahun selepas itu, seterusnya dinaikkan pangkat ke Pesuruhjaya Polis dengan memegang jawatan sebagai Ketua Polis Perak.

Kemudian beliau dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman selama setahun sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara mulai 2021 sehingga kini. – MalaysiaGazette