BALING – Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera (GRASS) meluahkan rasa kesal atas sikap diam diri Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membabitkan isu pembatalan projek kuari di Gunung Baling dan Gunung Pulai.
Penasihatnya, Mohd Sobri Ramlee berkata, tiga surat bantahan sudah dihantar kepada Muhammad Sanusi bermula beliau menerajui kepimpinan negeri sehingga kini namun tiada satu maklum balas mahupun pertemuan dilakukan.
Jelas beliau, pihaknya kesal serta tidak menyangka tiada respon daripada menteri besar itu kerana Muhammad Sanusi sendiri pernah turun padang membantah projek berkenaan ketika menjadi Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Kedah.
“Sepatutnya kerajaan negeri memberi jawapan telus mengenai status projek kuari di dua gunung berkenaan sama ada sudah dibatalkan atau sekadar ditangguhkan.
“Jika ada perjanjian yang memerlukan kerajaan negeri membayar ganti rugi itu juga perlu didedahkan kepada umum untuk semua pihak terlibat tahu kerana ini memberi kesan buruk kepada penduduk.
“Bagaimanapun, semua sedia maklum tiada projek kuari memberi kesan baik buat orang awam malah kita bimbang projek ini diteruskan akan membuatkan pekan Baling yang sedang membangun itu dipenuhi debu tebal sekali gus menyukarkan kehidupan penduduk,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Sobri berkata, banyak kelompongan dikenal pasti dalam laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) yang dikeluarkan bagi projek tersebut.
Jelas beliau, laporan EIA itu juga tidak menyatakan spesis flora terancam iaitu Sohmaea teres (Fabaceae) yang hanya wujud di Banjaran Gunung Baling dan Gunung Pulai.
“Bukan sahaja itu pakar sejarah, arkeologi dan Jabatan Warisan Negara juga mendapati kawasan cadangan projek itu mempunyai nilai tinggi daripada perspektif warisan sejarah dan arkeologi.
“Ia termasuk penemuan artifak dan ekofak (tinggalan arkeologi bukan hasil karya manusia) menunjukkan masyarakat terawal telah mendiami kawasan sekitar Gunung Pulai dan Gunung Baling kira-kira 16,000 hingga 17,000 tahun lalu.
“Sehubungan itu, kami harap kerajaan negeri akan batalkan projek ini dan tunjukkan bukti mutlak bahawa projek ini dibatalkan kerana kita tak mahu ia sekadar kata-kata kosong,” katanya. – MalaysiaGazette