Aiman Athirah Sabu

KUALA LUMPUR – Penglibatan wanita sebagai ahli lembaga pengarah dalam 100 syarikat tersenarai awam teratas meningkat kepada 29.7 peratus pada 1 April 2023 berbanding hanya 14 peratus pada 2016.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu berkata, hanya dua kerusi diperlukan bagi mencapai sasaran 30 peratus untuk 100 syarikat tersenarai awam teratas.

Katanya, ia adalah hasil daripada inisiatif Suruhanjaya Sekuriti yang telah menambah baik kod tadbir urus urusan korporat Malaysia pada 2021 di mana semua syarikat tersenarai awam telah diwajibkan untuk melantik sekurang-kurangnya seorang ahli lembaga pengarah wanita.

“Inisiatif ini telah berkuat kuasa pada 1 September 2022 bagi syarikat bermodal besar dan pada 1 Jun 2023 bagi syarikat tersenarai yang lain-lain,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh berhubung statistik semasa penglibatan wanita bagi jawatan utama kerajaan dan juga selaku pembuat keputusan untuk sektor swasta.

Menurut Aiman Athirah, sebanyak 21 peratus iaitu 204 syarikat daripada 979 syarikat tersenarai awam mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dalam kalangan ahli lembaga pengarahnya.

Manakala sebanyak 24 peratus daripada syarikat berkaitan kerajaan mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat sama, katanya.

Selain itu nisbah bilangan wanita peringkat tertinggi iaitu barisan kepimpinan utama seperti jawatan ketua pegawai eksekutif, ketua pegawai kewangan, ketua pegawai teknikal dan ketua pegawai operasi di syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat tersenarai awam telah melepasi sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus wanita.

Aiman Athirah berkata, statistik Jabatan Perkhidmatan Awam menunjukkan statistik wanita peringkat pengurusan tertinggi dalam sektor perkhidmatan awam ialah 38.8 peratus hingga Disember 2022.

Tambahnya, kerajaan telah melaksanakan pelbagai strategi bagi menyokong usaha mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus wanita pada peringkat pembuat keputusan.

Menurutnya, ia merangkumi tiga cabang strategi iaitu penambahbaikan perundangan dan dasar bagi menyediakan persekitaran yang selamat dan kondusif untuk wanita, menyediakan ekosistem yang menyokong penglibatan wanita serta menyediakan peluang dan akses kepada latihan bagi meningkatkan kesedaran serta kolaborasi bersama pihak berkepentingan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast