Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching ketika menghadiri sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 06 OGOS 2018
Teo Nie Ching

KUALA LUMPUR – Cadangan untuk menyiarkan lebih banyak lagi program berbentuk keagamaan dan program khusus untuk golongan orang kurang upaya (OKU) menerusi saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan dipertimbangkan.

Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, kementeriannya sentiasa terbuka dengan sebarang cadangan bersesuaian sebelum ia dibawa ke peringkat perbincangan.

“RTM melalui TV1 telah menyediakan rancangan keagamaan sebanyak 10.2 peratus. Kalau kita rasa peratusan ini tidak cukup dan perlu ditambah lagi, saya akan bawa cadangan ini ke RTM untuk perbincangan selanjutnya,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Fi (Jabatan Penyiaran Malaysia) (Pengesahan) 2023 yang bertujuan mengesahkan pemungutan fi berkenaan dengan apa-apa pembekalan program televisyen oleh Jabatan Penyiaran Malaysia semasa tempoh mulai 15 Mac 2001 hingga 28 Februari 2022.

Rang Undang-Undang berkenaan diluluskan di Dewan Negara hari ini selepas bacaan kali ketiga setelah dibahaskan empat senator.

Ia dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 22 Mei lepas oleh Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan diluluskan di Dewan Rakyat pada 24 Mei lepas.

Sementara itu, berhubung cadangan Senator Datuk Juhainis Abd Aziz agar RTM menubuhkan syarikat penerbitan sendiri bagi menerbitkan filem, Nie Ching berkata, perkara itu perlu diperincikan memandangkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah dipertanggungjawabkan untuk membangunkan industri filem negara.

Katanya, RTM akan terus menyokong kebebasan berkarya dan sekiranya karyawan berhadapan masalah seperti terikat dengan peraturan sedia ada, KKD terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan mereka bagi memahami kesulitan dihadapi mereka.

“RTM memang ada unit untuk terbit drama bagi siaran televisyen, memang ada production house yang memfokuskan program drama (tetapi) bukan untuk filem. Namun ini tidak bermakna KKD tidak berhasrat untuk membangunkan industri filem,” katanya.

Terdahulu Dewan Negara turut meluluskan Rang Undang-undang Tenaga Boleh Baharu (Pindaan) 2023 dan Rang Undang-undang Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Pindaan) 2023 sebagai persediaan menyerahkan kuasa kawal selia elektrik kepada Sabah.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad ketika menggulung perbahasan bagi rang undang-undang itu berkata, ia merupakan satu pindaan yang penting bagi membolehkan penyerahan kuasa pembekalan elektrik kepada Kerajaan Negeri Sabah selari dengan kerangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). – MalaysiaGazette