ISKANDAR PUTERI – Sebanyak 98 peratus projek pelaburan asing di Johor telah dilaksanakan hasil kerjasaama baik antara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan kerajaan negeri.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, kementerian itu komited untuk menjayakan lebih banyak pelaburan khususnya dalam sektor-sektor tumpuan termasuklah sumber tenaga boleh diperbaharui, petrokimia serta elektrik dan elektronik.
“Secara dasarnya Johor bukan sahaja menunjukkan hasil pelaburan yang positif, tetapi semakin kukuh dalam beberapa sektor utama.
“Dengan kejayaan merealisasi sehingga 98 peratus pelaburan, Johor adalah contoh dari segi pelaksanaan prestasi tertinggi dalam negara,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) Johor 2023 di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Turut mempengerusikan mesyuarat tersebut ialah, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi. Hadir sama, Timbalan Menteri MITI, Liew Chin Tong dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Lee Ting Han.
Sementara itu, Onn Hafiz pula memberitahu, pihaknya yakin Johor akan dapat mengekalkan kedudukan sebagai negeri yang merekodkan pelaburan asing tertinggi dalam negara buat tahun kedua berturut-turut.
“Tahun lalu, kita berjaya merekodkan pelaburan asing sebanyak RM70.6 bilion, tertinggi di Malaysia, dan trajektori ekonomi menunjukkan kita mampu capai angka pelaburan sama atau lebih tinggi.
“Insya llah masih nombor satu dalam negara tahun ini. Syukur Alhamdulillah, Johor menjadi penyumbang utama kepada nilai perdagangan negara (total trade), iaitu sebanyak 30 peratus atau RM247.592 juta bagi tempoh antara Januari hingga April tahun ini. Alhamdulillah.
“Ini merupakan peningkatan yang baik iaitu sebanyak 11.8 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas, selepas Johor menduduki tangga ketiga dengan nilai sebanyak RM221.37 juta.
“Trajektori ekonomi Negeri Johor berada di landasan yang baik, dengan berjaya mencatatkan RM10.6 bilion jumlah pelaburan yang diluluskan untuk suku pertama tahun 2023, dengan peningkatan tiga kali ganda berbanding suku pertama (Q1) tahun 2022 iaitu RM3.2 billion,” tambahnya.
Onn Hafiz menambah, mesyuarat tersebut memperincikan pelbagai pembangunan serta pelaburan strategik dan MITI memberi kerjasama positif dalam membincangkan kerangka dasar dan polisi yang sesuai untuk Johor. – MalaysiaGazette