Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub bercakap kepada media selepas Majlis Perhimpunan Bulan KPDN Serta Pelancaran Jenama Pakej Insuran Rahmah dan Pakej Takaful bersama Allianz Malaysia dan Etiqa di di KPDN, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 22 JUN 2023.

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mencuri subsidi rakyat termasuk pemilik stesen minyak yang bersengkongkol dengan aktiviti pembelian diesel bersubsidi.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pemilik stesen minyak tidak terlepas tindakan mahkamah jika menjual lebih 20 liter petrol atau diesel bersubsidi kepada mana-mana pihak tanpa lesen khas di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Sekiranya syarikat pam minyak itu kita berikan lesen tetapi dia menjual minyak itu, kita akan teliti kes itu.

“Kalau ia berlaku banyak kali ataupun memang sengaja menjual minyak itu secara tidak mengikut undang-undang, maka kita tak boleh berkompromi.

“KPDN tidak akan berkompromi sebab KSU sejak dua hari lepas telah mengetuai Sekretariat bersama beberapa kementerian lain untuk kita membanteras ketirisan contohnya diesel dalam negara kita,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Perhimpunan Bulanan KPDN Bulan Jun 2023 di Dewan Serbaguna KPDN, di sini.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan KPDN Selangor berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi dengan menyita tiga buah lori haram yang telah diubah suai.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Selangor, Mohd Khairi Jamaludin berkata, sitaan dibuat menerusi operasi hendap ketika tiga lori berkenaan membuat pengisian kira-kira dua jam, di Seksyen 22, Shah Alam, 10.30 malam, Isnin lalu.

Mohd Khairi berkata, siasatan awal mendapati, modus operandi lori tersebut dengan membuat transaksi kira-kira 10 kali setiap hari di stesen minyak yang sama bermula dari jam 9 malam hingga 1 pagi.

Setiap lori berkenan yang dipasang tangki tambahan berkapasiti 10,000 dan 20,000 liter minyak manakala sebuah lagi dimasukkan empat unit Intermediate bulk container (IBC) di dalamnya.

Katanya lagi, nilai sitaan 13,802 liter dianggarkan berjumlah RM29,674. – MalaysiaGazette