Pamela MCA
Pamela Yong

KUALA LUMPUR – Kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Adam melabelkan parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA dan MIC kononya sebagai ‘biawak hidup’ telah merosakkan legasi pendiri BN.

Ketua Wanita MCA Sabah Pamela Yong berkata, Lokman telah mengkhianati semangat kerjasama yang telah diilhamkan Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun Sambathan.

“Ilham Barisan Nasional dan semangat kerjasama bina bangsa dan negara ketiga-tiga tokoh ini masih dipegang teguh dan dijunjung tinggi oleh parti MCA dan MIC sehingga hari ini.

“Apa Lokman Adam telah buat dalam wawancara beberapa minit itu telah merosakkan dan menodai legasi ketiga-tiga tokoh negara yang telah mengambil masa bertahun-tahun untuk dibina,” kata Pamela.

Menurutnya, kata-kata yang diluarkan Lokman dalam wawancara bersama MalaysiaGazette berniat untuk menimbulkan kebencian dan perpecahan antara MCA dan MIC dengan UMNO.

Tegas beliau, MCA dan MIC setia bersama UMNO sejak bermulanya perjuangan ketiga-tiga parti pada zaman kapal layar Parti Perikatan pada tahun 1957.

Artikel berkaitan: Jika berat sangat hendak ‘pikul’, buat resolusi keluarkan MIC – Thinalan

Kerjasama ketiga-tiga parti berkekalan selama 66 tahun berasaskan kepada semangat silaturahim dan saling hormat menghormati kelebihan dan juga kekurangan masing-masing.

Katnya, kerjasama yang paling kukuh sewajarnya berdasarkan konsep memakmur dan memperkasakan rakan-rakan komponen dalam keluarga BN.

“Inilah apa dipanggil mampu bekerja sepasukan. Bagi individu seperti Lokman Adam yang hanya tahu kerja seorang diri, pastilah dia tidak akan memahaminya,” kata Pamela.

VIDEO:

Menurutnya, MCA tidak lemah tetapi telah ‘dilemahkan’ kerana kegagalan UMNO untuk mempertahankan dan memperkasakan rakan-rakan seperjuangan mereka.

MCA juga terpaksa mendukung bebanan pemimpin-pemimpin utama UMNO yang menghadapi tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.

“MCA berdiam diri tak maksud kami lemah tetapi ia hanya kerana MCA menghormati bahawasanya pemimpin-pemimpin UMNO ini akan berbuat sebaiknya mendahului kepentingan BN.

“Masih ingat masa itu bukan MCA tetapi mantan Ketua Pemuda UMNO sendiri yang tidak teragak-agak menggesa Presiden mereka untuk ‘bercuti dan berehat’ buat seketika sehingga kesnya selesai di mahkamah,” kata Pamela.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast