KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) hari ini menerima dua buah bas elekterik yang akan menjalani tempoh percubaan di Pulau Langkawi, Kedah selama dua tahun.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia merupakan bas elektrfik keluaran pertama Hino Motors.
Katanya, inisiatif projek perintis itu bukan sahaja menggalakkan pengangkutan mampan malah dapat mengurangkan pelepasan karbon di pulau itu.
“Kita berasa bertuah kerana Hino Motors memilih MARA sebagai rakan strategik yang akan mengoperasikan bas elektrik mereka yang pertama dengan menggunakan laluan di Pulau Langkawi.
“Bas in akan menjalani ujian keberkesanan di laluan terpilih bagi tempoh dua tahun, sekali gus menyokong Matlamat Pengangkutan Mampan (SDG) Malaysia,
“Inisiatif ini juga merupakan kesinambungan dan komitmen kedua-dua pihak selepas menandatangani Memorandum Persefahaman pada bulan Mac tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan dua buah bas elektrik pertama yang beroperasi di dunia keluaran Hino Motors dan Program Mara Brew’23 di Ibu Pejabat Mara, di sini, hari ini.
Ditanya mengenai jangka masa panjang dalam bidang pengangkutan, Asyraf berkata, pihaknya merancang akan memiliki beberapa bas mesra pengguna terutama untuk pengguna di kawasan luar bandar.
Bas Poncho Z EV keluaran Hino Motors itu mempunyai 11 tempat duduk yang boleh menampung sehingga 32 penumpang.
Bas tersebut dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan dan sistem yang mampu mengurangkan pelepasan karbon, selain saiznya yang kecil dan rendah bagi memudahkan penumpang keluar masuk.
Bas elektrik itu dijadual beroperasi pada September ini bagi menguji kesesuaian cuaca dan keadaan jalan raya di Malaysia.

Mengenai program Mara Bre’23 pula, Asyraf berkata, ia bertujuan memperkenal dan mempromosikan usahawan kopi yang berada di bawah industri makanan dan minuman (F&B) MARA.
Katanya, program itu akan dijadikan platform bagi menarik lebih ramai usahawan bumiputera terutamanya belia untuk menceburi perniagaan yang mempunyai ramai peminat.
“Hasrat itu juga sejajar dengan trend dan permintaan kebanyakan warga kota masa kini yang menjadikan minuman berkenaan sebagai sebahagian daripada gaya hidup.
“Kita perlu mengambil trend itu sebagai peluang yang boleh memberi impak kepada ekonomi negara termasuk membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat,” ujarnya. – MalaysiaGazette