KUALA LUMPUR – Badan Perhubungan UMNO Selangor menafikan sekeping surat tular di media sosial menyatakan desakan agar Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli melepaskan jawatan beliau.
“Pihak Badan Perhubungan UMNO Selangor telah mengesahkan surat tersebut adalah palsu dan fitnah terhadap kepimpinan Badan Perhubungan UMNO Selangor,” katanya dalam kenyataan di sini.
Jelas badan perhubungan itu, berita palsu seumpama ini mempunyai agenda jahat untuk menjejaskan imej dan reputasi kepimpinan Badan Perhubungan UMNO Selangor dan Kerajaan Perpadua dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Selangor tidak lama lagi.
Badan Perhubungan UMNO Selangor terus komited bagi mengukuhkan kestabilan politik tanah air dan menyambut baik kerjasama di dalam Kerajaan Perpaduan ini, tambahnya.
Surat bertarikh 22 Jun yang menggunakan kepala surat Badan Perhubungan UMNO Selangor ditujukan kepada presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. – MalaysiaGazette