Gambar hiasan

KUANTAN – Seorang warga emas wanita berusia 73 tahun rugi sebanyak RM79,992 setelah terjebak dengan penipuan penyamaran dalam telefon di sini semalam.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pahang dalam kenyataan hari ini berkata, mangsa terpedaya dengan seorang suspek yang menyamar pegawai Bank Negara Malaysia (BNM).

“Mangsa telah menerima panggilan telefon daripada ‘pegawai BNM’ itu dan menyatakan bahawa kad kredit milik mangsa telah digunakan untuk urus niaga penyeludupan dadah di luar negara.

“Suspek meminta maklumat perbankan mangsa dan telah mengaktifkan perbankan online bagi akaun tersebut,” katanya menerusi kenyataan yang sama.

Setelah itu mangsa telah menerima beberapa SMS transaksi pemindahan wang dari akaun miliknya sehingga mengalami kerugian sebanyak RM79,992.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Pihak Polis Kontinjen Pahang menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan yang meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak Polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan.

Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima dipautan  https://semakmule.rmp. gov.my  terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi. – MalaysiaGazette