GEORGE TOWN – Sebanyak 1,000 unit rumah menerusi Program Perumahan Rakyat (PPR) akan dibina di Pulau Pinang membabitkan peruntukan berjumlah RM200 juta.
Menteri Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, PPR itu akan dibina di atas tanah milik kerajaan negeri di Jelutong bagi bahagian pulau manakala Kepala Batas bagi kawasan Seberang Perai.
Rumah tersebut akan ditawarkan pada harga RM45,000 seunit selain dengan pilihan skim sewa untuk beli pada RM237 sebulan atau purata RM8 sehari bagi tempoh masa tertentu.
“Buat masa kini, Pulau Pinang hanya mempunyai empat buah PPR dengan 999 unit rumah. Jadi dengan peruntukan baharu ini jumlah PPR di negeri ini meningkat 100 peratus.
“Ini merupakan peruntukan terbesar bagi Pulau Pinang memandangkan sebelum ini mereka dianaktirikan namun di bawah Kerajaan Madani saya beri jaminan ia tidak akan berlaku termasuk kepada negeri pembangkang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penyerahan peruntukan Tabung Penyelenggaran Perumahan Malaysia dan Program Penyenggaraan Perumahan di Dewan Bandaraya Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) hari ini.
Pada majlis itu, Kor Ming mengumumkan KPKT telah meluluskan peruntukan sebanyak RM211.405 juta kepada Pulau Pinang melibatkan 41 projek termasuk dua projek PPR.
Ketika diminta mengulas sama ada pembinaan PPR itu akan diteruskan sekiranya berlaku perubahan tampuk pentadbiran kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN), Kor Ming enggan mengulas selain menyifatkan ia hanya soalan spekulasi.
“Ini adalah soalan spekulasi yang saya tak akan jawab pada hari ini tapi saya yakin rakyat Pulau Pinang akan pilih kerajaan Madani,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Kor Ming juga menafikan pengumumannya hari ini adalah susulan Pilihan Raya Negeri bakal berlangsung tidak lama lagi.
“Saya pernah datang ke Pulau Pinang pada Februari dan umumkan peruntukan RM40 juta untuk negeri ini dan ketika itu tidak timbul soal PRN kerana konsep KPKT berkhidmat bukan secara bermusim,” katanya. – MalaysiaGazette