Salahuddin Ayub

KUALA LUMPUR – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata ura-ura harga beras bakal naik pada Julai hanyalah khabar angin.

Beliau berkata, sehingga kini kerajaan belum membuat sebarang keputusan mengenai harga pasaran makanan ruji berkenaan.

“Kita belum dapat lagi fakta itu, saya baru baca hari ini tetapi memang kita bersedia sebenarnya untuk menghadapi fenomena El-Nino ini.

“Namun, kita sudah minta pegawai untuk mendapatkan maklumat daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, mungkin lewat petang ini dapat.

“Tapi desas-desus akan berlaku naik harga itu bukan keputusan kerajaan. Kita akan mengeluarkan kenyataan bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan nanti,” kata ketika hadir lawatan kerja sempena pelancaran Misi Rahmah Ekonomi Sempadan Malaysia – Brunei di Depo Petronas Dagangan Berhad Sepanggar.

Terdahulu, Pengarah Urusan Pasar Raya Besar Mydin Ameer Ali Mydin dilaporkan menjangkakan bahawa harga runcit beras 10kg akan naik sekitar RM1 hingga RM2 bermula Julai ekoran kelemahan ringgit serta kenaikan kos lain.

Sementara itu, Salahuddin berkata, Misi Rahmah Ekonomi Sempadan Malaysia – Bruneiakan menumpukan pembekalan gas asli cecair (LPG) tidak bersubsidi dari Sabah ke negara jiran itu.

Ujar beliau, sebanyak 150 tan LPG dihantar ke Brunei sebagai permulaan dan tertakluk
kepada permintaan dari negara itu.

“Ini satu pembekalan tanpa subsidi dan ia tidak menjejaskan keperluan isi rumah atau industri kita di sini. Kita ada lebihan 20 peratus LPG, jadi kita manfaatkan untuk kerjasama dengan Brunei.

“Saya juga bercadang mengadakan lawatan ke Brunei pada Ogos depan untuk melihat potensi kerjasama dalam merancakkan lagi aktiviti ekonomi sempadan.

“Kita teroka sebanyak mungkin dan mewujudkan peluang pekerjaan di kawasan sempadan Malaysia – Brunei, termasuk dengan Sabah,” jelasnya.

Beliau berkata, pelancaran Misi Rahmah Ekonomi Sempadan Malaysia – Brunei itu menjadi permulaan ke arah membangunkan kawasan sempadan kedua-dua negara.-MalaysiaGazette