Musang King.-foto AFIQ RAZALI, 11 JULAI 2018.

KUALA LUMPUR – NAZA Corporation Holdings Sdn Bhd (Kumpulan NAZA) menceburi indusri durian melalui NAZA Agro Plantation (NAZA Agro).

Kumpulan itu hari ini mengumumkan projek perladangan durian seluas 809.3  hektar di Raub, Pahang.

Fasa pertama projek melibatkan kira-kira 234.7  hektar dengan tumpuan khusus kepada Musang King dan varian premium lain.

Usaha niaga NAZA Agro menyasarkan untuk menyumbang kepada eksport durian Malaysia daripada fasa pertama penghasilan pada 2027.

Tumpuan dibuat terhadap varian musang king kerana sangat diminati dan telah menunjukkan peningkatan permintaan global terutama dari China, Singapura, dan Hong Kong.

Berdasarkan laporan, pasaran durian global bernilai AS$24.90 bilion pada tahun ini sahaja.

“Menjelang akhir tahun 2033, pasaran ini akan melepasi AS$ 49.91 bilion, menunjukkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun yang luar biasa sebanyak 7.2% antara 2023 dan 2033.

“Walaupun Thailand kini menguasai pasaran dengan lebih 90% eksport global. bahagian eksport Malaysia kekal kurang daripada 5%.

“Menurut laporan itu, varieti Musang King Malaysia, yang sangat digemari oleh pembeli dari China, kini menghadapi kekurangan bekalan daripada syarikat Malaysia dan ini memberi peluang keemasan kepada Naza untuk meningkatkan bekalan dan memenuhi pasaran eksport,” katanya dalam kenyataan.

Majlis pecah tanah telah disempurnakan oleh pemegang saham Kumpulan NAZA iaitu SM Nasarudin SM Nasimuddin, SM Faliq SM Nasimuddin, Nur Diana SM Nasimuddin dan Nur Nadia SM Nasimuddin.

NAZA Agro juga melabur untuk sistem pengairan dan fertigasi yang mampu menyediakan ketepatan pengairan untuk pertumbuhan yang lebih tinggi dan hasil yang lebih baik dalam semua corak iklim, jenis tanah atau topografi.

Ladang itu juga meneroka penggunaan Digital Agriculture Technology dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Katanya, industri durian mempunyai potensi besar untuk masyarakat tempatan daripada segi penciptaan pekerjaan serta menyumbang kepada peningkatan taraf ekonomi penduduk Raub.

NAZA Agro juga telah melantik Top Fruits Sdn Bhd, salah satu pengeksport utama durian premium ke China dan negara lain sebagai rakan strategik.

Syarikat itu berharap dapat memanfaatkan pengalaman luas mereka dalam industri durian serta kepakaran dalam kedua-dua aktiviti huluan dan hiliran untuk mengembangkan aktiviti hiliran pada masa hadapan. – MalaysiaGazette