Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan gimik perasmian TLK Bertingkat Taman Tasik Metropolitan Kepong ketika hadir ke majlis temu mesra bersama pemilik rumah mampu milik WPKL di PPAM Metropolitan Kepong. Foto MOHD ADZLAN 23 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memperkenalkan lima projek pembangunan Kejiranan Madani bagi membolehkan golongan berpendapatan rendah berpeluang memiliki rumah serendah RM150,000 sehingga RM200,000.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar berkata, kesemua projek itu akan dibangunkan tahun ini sekitar Kuala Lumpur bagi memberi peluang kepada kumpulan B40, kumpulan M40 serta golongan belia belia.

“Residensi Prihatin Madani ini disasarkan untuk golongan M40 yang berpendapatan RM7, 000 sebulan ke bawah yang berkeluasan 800 kaki persegi (kps) dengan nilai jualan RM200,000 seunit.

“Golongan B40 pula adalah Residensi Madani khusus kepada mereka yang berpendapatan seisi rumah RM5, 000 sebulan ke bawah dengan berkeluasan 750 kps melibatkan nilai jualan RM180,000 seunit.

“Manakala Residensi Sejahtera Madani, untuk golongan bujang atau belia yang baru bekerja serta pasangan muda baru berkahwin terutama berusia 21 hingga 30 tahun dengan pendapatan seisi rumah RM4,000,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis temu mesra bersama pemilik rumah mampu milik WPKL ketika di PPAM Metropolitan Kepong. Foto MOHD ADZLAN 23 JUN 2023.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sesi Temu Mesra Perdana Menteri bersama pemilik rumah mampu milik Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini.

Tambah Anwar, kerajaan juga menyediakan dua skim baharu bertujuan sewaan bagi kumpulan yang berpendapatan rendah dan tidak mampu membeli rumah.

“Untuk golongan M40 dan B40 yang tidak mampu memiliki rumah, kita sediakan Rumah Majlis Madani dengan kadar sewaan sebanyak RM600 sebulan untuk lima tahun sahaja.

“Manakala B40 dan rentan miskin di Kuala Lumpur adalah Rumah Ihsan Madani dengan kadar sewaan yang ditetapkan adalah RM300 sebulan sahaja bagi tempoh lima tahun,” ujarnya.

Kesemua projek perumahan tersebut memiliki tiga bilik tidur dan dua bilik air dengan berkeluasan sekurang-kurangnya 700 kaki persegi dan turut disediakan satu tempat letak kereta.

Beliau juga menyatakan keyakinan pendekatan itu adalah lebih seimbang dan mampu menangani isu pemilikan perumahan di Kuala Lumpur khususnya kepada kumpulan B40 dan M40. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast