KUALA LUMPUR – Longgokan barangan kitar semula yang terdapat di sebuah kilang di Jalan Bukit Naga, Seksyen 32, Shah Alam, Selangor terbakar hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.33 tengah hari tadi yang memaklumkan mengenai insiden itu.
Katanya, bertindak atas aduan kecemasan itu sepasukan anggota bomba dengan jentera pemadam dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam dan juga BBP Andalas Klang telah bergegas ke lokasi kejadian.
“Semasa sampai di lokasi didapati kebakaran melibatkan sebuah kilang kitar semula berkeluasan 150×300 kaki persegi.
“Siasatan mendapati kebakaran telah berlaku di tempat longgokan barangan kitar semula berkeluasan 50×50 kaki persegi yang musnah terbakar 50 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, kerja-kerja pemadaman sedang dijalankan dengan bantuan dua buah ekskavator milik kilang tersebut yang ada di dalam premis itu.
“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam lebih kurang jam 2 petang tadi.
“Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran tersebut,” ujarnya.-MalaysiaGazette