KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengadakan Program Jualan Rahmah Bergerak untuk keluarga B40 di kesemua 11 Parlimen.
Pengarahnya, Ariffin Samsudin berkata, sebanyak 12 jenis barang keperluan asas terpilih akan dijual dalam program tersebut kepada golongan B40.
Katanya, program berkenaan akan dilaksanakan dengan menggunakan tiga buah lori bagi membawa barangan jualan promosi ke 33 lokasi perumahan di ibu negara.
“Program Jualan Rahmah Bergerak ini julung kali diadakan oleh KPDN di ibu negara dan tiga lokasi perumahan B40 di setiap Parlimen itu telah dicadang dan kemukakan oleh wakil rakyat dan Ahli Parlimen dari 11 kawasan Parlimen.
“Jualan Rahmah Bergerak B40 ini akan bermula esok (24 Jun) hingga 1 Ogos ini kecuali pada hari Jumaat yang mana pada hari bekerja ia akan diadakan bermula jam 5 petang atau 8 malam selepas waktu bekerja manakala di hujung minggu Sabtu dan Ahad jualan bermula jam 10 pagi sehingga habis dijual sepenuhnya,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Tambah beliau, kesemua 12 barangan terpilih itu akan dijual pada harga diskaun yang diberi kerajaan dan juga penyedia perkhidmatan jualan rahmah itu.
Menurut Ariffin, objektif utama program Jualan Rahmah Bergerak adalah bagi memastikan barangan yang dijual pada harga rendah sampai terus kepada golongan bersasar B40 tanpa perlu bergerak jauh untuk mendapatkannya.
“Jumlah barangan jualan rahmah yang dijual akan diberikan diskaun sehingga maksimum 30 peratus selain diskaun tambahan juga akan diberikan oleh penyedia perkhidmatan itu.
“Jumlah keseluruhan diskaun dijangka menjangkau sehingga RM30,000 untuk satu-satu lokasi selain jumlah barangan rahmah yang akan dibawa dalam jualan itu juga dijangka menjangkaui nilai RM150,000,” ujarnya.
Ariffin berkata, jika program tersebut sambutan baik ia akan diteruskan selepas tempoh promosi 1 Ogos depan.
Katanya, bagi mengelak sebarang ketirisan dan barangan yang ditawarkan sampai kepada golongan B40, pihaknya telah menetap had pembelian dua produk untuk setiap seorang.
Sementara itu, Program Jualan Rahmah Bergerak pertama akan diadakan di Kampung Sungai Penchala yang terletak di kawasan parlimen Segambut esok.- MalaysiaGazette