KUALA LUMPUR – Individu yang ditahan polis dalam kapal terbang di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru yang tular di Tiktok baru-baru ini terlibat dengan kegiatan ah long.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, ketika kejadian, polis sedang mengesan suspek berikutan maklumat hasil risikan yang mendapati individu terbabit menaiki penerbangan dari utara tanah air ke Johor.

Katanya, lelaki berusia 28 tahun itu diberkas sebaik tiba di lapangan terbang tersebut.

“Polis mengesan video tular di aplikasi TikTok penama akaun Elizabeth Eoh Yang berkaitan tangkapan di dalam pesawat yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor.

“Polis sedang menjalankan tugas mengesan suspek yang juga penumpang pesawat berdasarkan maklumat dan risikan yang diterima sebelum tangkapan dibuat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penahanan dibuat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 serta Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan suspek direman empat hari bermula Khamis semalam.

Raub berkata, penahanan itu susulan daripada tangkapan empat individu yang dipercayai terlibat dalam kegiatan sama sebelum ini.

Terdahulu, dua video tular di TikTok berdurasi 12 saat memperlihatkan polis mengesan lelaki itu di dalam sebuah pesawat dan satu lagi berdurasi sembilan saat melihatkan suspek diiring polis di lapangan terbang itu. – MalaysiaGazette