SETELAH agak lama mendiamkan diri, bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua ‘bikin panas’ dengan menggelarkan Barisan Nasional (BN) sebagai ‘pakatan korup’.
Tuduhan yang diucapkan beliau dalam satu majlis anjuran DAP semalam mengundang kritikan dan kecaman daripada pemimpin-pemimpin BN.
Mujurlah, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meredakan keadaan dengan meminta pemimpin-pemimpin partinya agar tidak memberi reaksi bagi membalas tuduhan Tony itu.
Begitu juga dengan dengan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang menyelar ucapan Tony kerana disifatkan tidak selari dengan pendirian parti untuk menjaga hubungan baik dengan parti-parti lain dalam Kerajaan Perpaduan.
Mungkin Tony yang tidak lagi memegang sebarang jawatan dalam DAP dan tidak lagi bergelar wakil rakyat terlupa bahawa BN dan partinya kini bekerjasama.
Kerjasama antara dua parti yang dahulu saling bercakaran itu tidak terhad dari segi pembentukan Kerajaan Perpaduan sahaja, malah akan diteruskan dalam enam pilihan raya negeri (PRN) dan andainya jodoh masih panjang, sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Harus diakui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memikul tanggungjawab yang berat bagi memastikan Kerajaan Perpaduan dapat bertahan agar rakyat tidak lagi berdepan kemelut politik berpanjangan seperti yang berlaku selepas PRU14 dahulu.
Semua parti yang menganggotai Kerajaan Perpaduan mempunyai masalah dan kelemahan masing-masing, justeru tidak sepatutnya ada mana-mana pemimpin mendabik dada kononnya partinya lebih baik daripada yang lain.
Sikap sedemikian tidak membantu dalam mewujudkan budaya politik baharu yang menyaksikan parti-parti yang berbeza agenda perjuangan dan ideologi sanggup duduk semeja agar negara kembali stabil dari segi politik dan ekonomi.
Selepas tujuh bulan Kerajaan Perpaduan ditubuhkan, semua pemimpin parti-parti yang di bawahnya sewajarnya melupakan kisah silam yang pahit dan melukakan perasaan.
Menjelang PRN di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan tidak lama lagi, tak usahlah memberi ‘bola tanggung’ kepada pihak lawan.
Contohilah sikap pemimpin-pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dilihat lebih matang dan tenang dalam menjaga hubungan dengan parti-parti rakan yang lain dalam Kerajaan Perpaduan.
Fikirlah dahulu sebelum berkata atau menulis kenyataan. Lebih baik bantu parti masing-masing bekerja untuk rakyat agar mereka yakin bahawa acuan yang diketengahkan oleh Kerajaan Perpaduan adalah yang terbaik untuk mentadbir negara. – MalaysiaGazette
betul pun apa dia kata… tk malu hoi ya hoi!