Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Kenyataan bekas pemimpin DAP, Tony Pua yang menggelar Barisan Nasional (BN) sebagai ‘pakatan korup’ bukan sahaja boleh menjejaskan hubungan baik parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan.

Sebaliknya, ia turut mengganggu persiapan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi, kata Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Katanya, Wanita UMNO percaya, kenyataan yang dikeluarkan oleh Pua tidak mewakili DAP seperti mana yang ditegaskan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.

“Wanita UMNO ingin menegaskan bahawa kerajaan yang tertubuh pada hari ini merangkumi 19 parti gabungan yang lain.

“Segala perbezaan pendapat dalam kalangan parti-parti gabungan hendaklah diselesaikan melalui Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia yang bertindak sebagai penyelaras terhadap apa juga perkara yang terbit daripada kerajaan dan tidak bercanggah di antara satu sama lain,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Noraini berkata, kesatuan parti-parti gabungan Kerajaan Perpaduan sangat penting dalam usaha untuk mewujudkan kestabilan politik, ekonomi dan kemakmuran rakyat di negara ini.

Terdahulu hari in, Pua Ketika berucap dalam majlis yang dihadirinya, menyuarakan harapan supaya PH dapat membentuk kerajaan sendiri dalam kalangan komponen gabungan itu, tanpa membabitkan UMNO dan BN sekiranya gabungan itu menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Bagi tujuan itu katanya, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilantik sebagai perdana menteri perlu membuktikan sesuatu kepada rakyat berbilang kaum di negara ini bahawa pentadbiran PH jauh lebih baik dan tidak korup seperti BN. – MalaysiaGazette