Keadaan motosikal yang dinaiki oleh ketiga-tiga mangsa remuk teruk setelah bertembung dengan sebuah MPV di Pekan, hari ini

PEKAN – Tiga beradik maut apabila motosikal yang dinaiki mereka terbabas di haluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kenderaan serba guna (MPV) di Kampung Langgar, hari ini.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, ketiga-tiga beradik disahkan meninggal dunia di lokasi nahas Kilometer 7 Jalan Benta-Lamir dalam inisiden 12.30 tengah hari tadi.

Mereka ialah Nik Iram Idwan Nik Mohd Khairul Hisyam, 15, dan dua adiknya Nik Nur Faqihah,11, serta Nik Ikram Nuqman 5, yang beralamat dari Kampung Langgar.

Ketika kejadian MPV bersama enam penumpang dari arah Taman Jambu, Pekan menghala ke Kuantan manakala ketiga beradik dalam perjalanan dari arah Kampung Lamir menghala ke Kampung Langgar.

”Apabila sampai di tempat kejadian penunggang motosikal telah terbabas masuk dalam laluan bertentangan lalu bertembung dengan MPV yang datang dari arah hadapan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jenazah kesemua mangsa dibawa ke Hospital Pekan.

Mohd Zaidi berkata, kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast