SHAH ALAM – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui telah menerima secara rasmi dan tidak rasmi senarai calon parti itu yang akan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Beliau yang juga Presiden Bersatu bagaimanapun menasihati agar semua pihak menerima nama calon yang akan diputuskan oleh pucuk pimpinan parti-parti dalam PN.
“Ramai calon berkelayakan di Selangor khususnya sudah diteliti.
“Pucuk pimpinan putuskan.. wajib terima calon itu. Setuju,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada berucap pada majlis Pelancaran Konvensyen Pilihan Raya dan Jentera Pilihan Raya PN Selangor di Pusat Konvesnyen Ideal (IDCC) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, calon yang dirasakan akan bertanding pada PRN perlu turun dari sekarang ke kawasan mereka.
Jelas bekas perdana menteri itu, ini kerana tempoh masa dua minggu berkempen nanti tidak mencukupi untuk menyantuni pengundi.
“Masa adalah amat terhad… Siapa calon, wajah, watak dan kewibawaan dia. Itu antara pertimbangan (pengundi),” katanya.
Pada Khamis lalu, Muhyiddin mengumumkan Pas akan bertanding di 126 kerusi, Bersatu 83 kerusi dan Gerakan di 36 kerusi. – MalaysiaGazette