LEBIH 11 maut dan lebih lagi 25 lagi cedera dalam serangan tentera Rusia di Jisr Shughour di utara Syria pada Ahad lalu. Ia bukan benda pelik kepada mereka yang berada di sana kerana siapapun yang maut bukan lagi menjadi isu kerana setiap hari ada sahaja bertambah.

LEBIH 11 maut dan lebih lagi 25 lagi cedera dalam serangan tentera Rusia di Jisr Shughour di utara Syria pada Ahad lalu. Ia bukan benda pelik kepada mereka yang berada di sana kerana siapapun yang maut bukan lagi menjadi isu kerana setiap hari ada sahaja bertambah. Tetapi yang penting ia menjadi satu lagi siri keganasan yang telah meragut nyawa orang awam, fenomena biasa sejak negara itu terjebak ke dalam konflik lebih 12 tahun lalu.

Cerita serangan udara yang menyasarkan orang awam ada sahaja berlaku sama ada ia dibuat bertalu-talu atau sekali sekala. Sejak konflik berdarah bermula pada 2011, ia telah meragut lebih 600,000 nyawa dan menjadikan lebih 13 juta rakyatnya pelarian.

Penulis bersama mangsa konflik Syria di As Sahil, Latakia, Syria.

Itu cerita di Syria, belum lagi di Yemen, satu lagi tempat yang disebut Rasulullah SAW bumi yang diberkati. Konfliknya yang bermula dalam jangka waktu hampir sama juga tidak banyak mendapat perhatian masyarakat antarabangsa, termasuk dari dunia Islam sendiri walhal diaspora Hadhrami (mereka yang mendakwa berketurunan Rasulullah SAW dan berasal dari Hadhramawt, Yemen) ada di mana-mana khususnya di rantau Asia Tenggara.

Situasi kemanusiaan yang berlaku sebenarnya amat kritikal kerana daripada 32.6 juta populasi negara itu, 21.6 juta memerlukan bantuan kemanusiaan dan 4.5 juta berada berselerak menjadi pelarian di dalam negara (IDP).

Skala kebulurannya besar tetapi kisah mereka berlalu begitu sahaja di laman sesawang berita atau media sosial.

Begitu juga dengan isu-isu yang lama yang telah berakar umbi seperti Palestin, Afghanistan, Iraq, negara-negara Balkan dan serantau termasuk di selatan Thailand.

Kisah-kisah berkaitan kemanusiaan semakin kurang mendapat perhatian daripada warga negara ini walaupun ada macam-macam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit tampil membantu. Ada yang suka-suka dengan mengisi waktu, tidak kurang pula yang mencari ‘follower’ di media sosial dan tidak dinafikan ramai lagi yang membuat sepenuh masa.

Ketepikan soal nawaitu kerana ia benda berada dalam kalbu.

Apa yang menjadi keutamaan sekarang, mereka yang menjadi mangsa perlukan perhatian bukannya wayang. Telah lama kisah-kisah pelarian yang tular, tetapi hanya setakat itu. Baki hari-hari seterusnya tidak banyak berubah. Perut kosong perlu diisi, khemah koyak rabak perlu diganti dan penyelesaian konflik perlu dicari.

Mengangkat tragedi yang menimpa mereka ke arus media perdana perlukan kerangka strategi yang komprehensif dan bukan main ‘ikut dang’ kata orang Terengganu. Berbeza dengan menangani bencana alam yang tidak dapat diramal, krisis akibat perang dan sengketa dapat dibaca serta dirangka strategi untuk membantu. Tetapi apa yang menjadi persoalan isu mengenai pelarian dan mereka yang terkesan timbul tenggelam.

Kisah-kisah mangsa konflik perlu ‘dihidupkan’ melalui semua platform media. Berapa banyak NGO yang membuat bajet tahunan untuk berbelanja sebagai salah satu strategi pemasaran?

Rata-rata menggunakan platform media sosial sendiri. Bahkan jika diteliti penyampaian dan intipatinya amat ‘cliché’. Kalau NGO A buat iklan kanak-kanak merayu bantuan pada musim sejuk, pada masa yang sama keluar iklan yang hampir serupa dibuat NGO B. Kandungannya sama cuma label berbeza.

Satu lagi yang menjadi masalah, terdapat sesetengah pengurusan NGO yang hanya tahu meminta slot percuma dengan menggunakan alasan kerja-kerja kemanusiaan sebagai pengecualian. Sampai bila perlu meminta-minta sedangkan setiap kali kempen ada sesetengahnya memungut sumbangan berjuta-juta.

Ada yang berbelanja untuk kerja-kerja promosi tetapi merebut kek yang sama dengan tidak melihat kepada pulangan pelaburan (RoI). Sesetengahnya asalkan boleh keluar TV itu dikira sudah cukup.

Berbelanja membeli ‘airtime’ adalah perkara penting. Bukan sahaja tujuan mempromosi kempen tetapi pada masa yang sama mengingatkan masyarakat mengenai penderitaan yang sedang ditanggung.

Dalam konteks ini, banyak elemen yang perlu diperhalusi dan ia sama sekali tidak boleh dibuat secara hentam kromo.

Intipati, jalan cerita, penyampaian dan persembahan topik yang diketengahkan banyak membantu untuk menyakinkan orang ramai untuk menderma.

Macamana hendak dapat sumbangan jika cerita sebenar mangsa tidak diketengahkan dan tidak menyuntik hati orang ramai untuk menderma?

Apa sebenarnya yang membelenggu NGO kita untuk pergi jauh dan menjadi juaara dalam kerja-kerja kemanusian? Mesti ada asbabnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast