SUBANG – Kerajaan akan membawa pulang kira-kira 755 rakyat Malaysia di Rusia sekiranya situasi keselamatan mereka di negara itu tidak terjamin.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, pihaknya memantau rapat perkembangan situasi pergolakan itu terutamanya di Moscow ketika ini.
Katanya, Menteri Luar Negeri telah memberikan taklimat pada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga beliau pada Sabtu lalu mengenai kedudukan warga Malaysia yang berada di republik itu.
“Kita sekarang sedang memantau rapat perkembangan dan situasi mereka di sana. Tindakan-tindakan keselamatan termasuk jika keadaan tidak dapat menjamin keselamatan mereka, usaha ke arah untuk membawa mereka balik ke Malaysia sedang diatur oleh Wisma Putra.
“Bagaimanapun, kita akan terus memantau situasi di Rusia dan kita harap kedudukan keselamatan terjamin,” katanya dalam sidang media hadir selepas merasmikan Persidangan Pertubuhan Akademi Kebangsaan Biro Siasatan Persekutuan (FBINAA) Bahagian Asia Pasifik ke-23 di Hotel Sunway Resort hari ini.
Semalam media melaporkan, tentera upahan Rusia yang dikenali sebagai Wagner dan dipimpin Yevgeny Prigozhin telah melakukan pemberontakan dengan menyerang Moscow selepas merampas sebuah bandar di selatan negara tersebut.
Bagaimanapun, mereka memutuskan untuk berundur selepas mengadakan perbincangan dipimpin oleh pentadbiran Belarus.
Hantaran di media sosial menunjukkan Wagner meninggalkan bangunan Ibu Pejabat Daerah Tentera selatan Russia di Rostov-on-Don dan mengeluarkan peralatan ketenteraan dari bandar itu.
Wagner mendakwa tentera Russia menyerang pejuangnya kelmarin dan kumpulan itu kemudiannya menyeberang dari Ukraine ke bandar Rostov-on-Don.
Sebagai tindak balas, Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan di Russia memulakan prosiding jenayah terhadap Wagner kerana ‘pemberontakan bersenjata’.
Presiden Rusia, Vladimir Putin melabelkan kebangkitan Wagner sebagai tindakan ‘pengkhianatan’ dan berjanji tidak akan memaafkan pengkhianat yang mengancam rakyat dan negaranya. -MalaysiaGazette