ventilator
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Prinsip pembayaran gaji dan elaun tetap kepada penjawat awam termasuk pegawai perubatan adalah bersifat bulanan dan bukan mengikut jam bekerja.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, pembayaran elaun tugas atas panggilan (ETAP) kepada pegawai perubatan merupakan imbuhan terhadap tanggungjawab tambahan yang dijalankan oleh mereka dalam merawat pesakit semasa bertugas ketika panggilan di hospital selepas waktu bekerja biasa.

Selain itu, ETAP turut dibayar kepada pegawai perubatan yang diarah bertugas atas panggilan di klinik kesihatan yang menyediakan perkhidmatan rawatan pesakit selepas
waktu pejabat.

“Peraturan yang sama juga dilaksanakan di sektor swasta iaitu sekiranya pegawai tidak hadir bertugas cukup sebulan, maka pembayaran gaji dan elaun pada bulan berkenaan dibuat secara pro-rata berdasarkan bilangan hari pegawai bekerja dalam bulan berkenaan.

“Selain daripada gaji, pegawai perubatan turut menerima pelbagai jenis elaun lain seperti bayaran insentif perkhidmatan kritikal, bayaran insentif pakar, elaun bertugas pegawai perubatan selepas waktu pejabat di klinik kesihatan dan jabatan kecemasan hospital (elaun locum) serta elaun pembedahan elektif dan elaun tugas atas panggilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KKM berkata demikian sebagai respon terhadap laporan media yang membangkitkan mengenai isu elaun tugas atas panggilan ETAP atau On-Call Pegawai Perubatan.

Menurut KKM lagi, pengiraan kadar ETAP dengan membahagikan RM220 (kadar ETAP aktif hari kelepasan am dan mingguan bagi pegawai perubatan) kepada 24 jam sehari (RM9.16 sejam) adalah tidak tepat kerana ETAP dibayar berdasarkan 15 jam sehari mengambil kira tempoh tugas atas panggilan selepas waktu bekerja biasa.

Pembayaran ETAP itu adalah berdasarkan tempoh pegawai diarah bertugas atas panggilan (minimum emat jam bertugas) dan tidak termasuk waktu bekerja biasa pegawai.

Dengan memberikan contoh, Dr. Ali, seorang pakar perubatan gred UD52 menerima gaji (gaji pokok dan elaun tetap bulanan) sebanyak RM17,299 dan juga diarah untuk melakukan tugas atas panggilan secara aktif di hospital.

Berdasarkan gaji yang diterima sebulan, Dr. Ali layak untuk menerima gaji sebanyak RM576.63 sehari.

“Bagi hari yang beliau diarah untuk bertugas atas panggilan secara aktif, beliau layak dibayar ETAP sebanyak RM250 bagi tambahan jam yang beliau bertugas selepas waktu bekerja biasa.

“Sehubungan itu, jumlah gaji yang diterima pada hari Dr. Ali melakukan tugas atas panggilan adalah RM576.63 dicampur dengan ETAP (RM250) yang mana jumlahnya adalah RM826.63 sehari,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast