HUBUNGAN yang terjalin antara UMNO, MCA dan MIC sejak era Parti Perikatan dan kini, Barisan Nasional (BN) merupakan ikatan kerjasama politik yang tertua di negara ini.
Jika dihitung, ketiga-tiga parti yang pernah menjadi kuasa dominan dalam pentas politik tanah air itu telah hidup bersama selama 71 tahun.
UMNO, MCA dan MIC berdepan episod yang pahit apabila buat kali pertama dalam sejarah, BN gagal membentuk kerajaan selepas ditewaskan oleh Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Namun, semangat setiakawan MCA dan MIC terbukti apabila mereka tidak meninggalkan UMNO keseorangan sedangkan parti-parti lain termasuk Gerakan serta parti-parti di Sabah dan Sarawak ‘angkat kaki’ meninggalkan BN.
Seperti UMNO, MCA dan MIC yang mengamalkan politik kesederhanaan menjadi mangsa politik fitnah dan cauvinis yang dimainkan oleh parti-parti lawan.
BN sekali lagi gagal menjadi parti yang dominan selepas PRU15 sehingga menyebabkan ia terpaksa bekerjasama dengan PH yang merupakan bekas musuh ketatnya dalam Kerajaan Perpaduan.
Walaupun ahli-ahli UMNO mula menerima hakikat tersebut secara beransur-ansur, rakan-rakan lama mereka dalam MCA dan MIC berasa seolah-olah dipinggirkan selepas UMNO ada kawan baharu.
Luka di hati mereka bertambah pedih apabila ada pemimpin UMNO seperti Datuk Lokman Noor Adam menyifatkan MCA dan MIC sebagai ‘biawak hidup’ yang tidak menyumbang kemenangan kepada BN.
Mungkin Lokman yang kerjaya politiknya bermula dengan PKR tidak berapa memahami semangat setiakawan sejati BN yang melatari hubungan antara UMNO, MCA dan MIC.
Sejak dahulu lagi, parti-parti dalam BN mengamalkan sikap saling menghormati serta menangani perbezaan secara berbudi bahasa dan berhemah.
Gelaran ‘biawak hidup’ yang dilemparkan oleh Lokman terhadap MCA dan MIC itu dikhuatiri boleh memberi kesan negatif terhadap usaha BN mempertahankan kerusi-kerusi yang disandang pada enam pilihan raya negeri (PRN).
Sudah kedengaran seruan agar jentera MCA tidak membantu kempen pilihan raya calon-calon BN termasuk dari UMNO sebagai tanda protes terhadap keterlanjuran kata Lokman.
Dalam hal ini, pucuk pimpinan BN lebih-lebih lagi Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak boleh sekadar berpeluk tubuh sambil mengharapkan isu tersebut akan selesai dengan sendirinya.
Pupuk semula keyakinan dalam kalangan pemimpin serta ahli MCA dan MIC bahawa mereka masih lagi teman setia UMNO, manakala hubungan dengan DAP hanya terhad dalam kerangka Kerajaan Perpaduan.
Pada masa yang sama, apa salahnya kalau Lokman meminta maaf secara terbuka kepada MCA dan MIC bagi menyejukkan hati-hati yang sedang panas. – MalaysiaGazette