SUBANG – Rakyat diminta supaya tidak melayan sebarang kenyataan pemimpin parti komponen yang tidak mewakili pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) yang mahu memulau pilihan raya negeri (PRN).
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, mana-mana kenyataan yang dikeluarkan mereka bersifat peribadi dan tidak mewakili pendirian rasmi BN.
Menurutnya, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) tidak sepatutnya membangkitkan isu melemahkan kekuatan parti.
“Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin utama parti itu tidak mewakili BN dan lebih kepada pendapat peribadi mereka.
“Parti-parti di dalam BN kami merasakan kita janganlah melayani pendapat individu dan ini akan membawa persepsi bahawa kita tidak ada tahap kebersamaan dan saya ingin mengucapkan terima kasih kerana kepimpinan utama MCA, MIC, PBRS memang menyokong BN-PH dalam PRN yang akan kita sama-saa hadapinya kali ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika diminta mengulas mengenai laporan kononnya MCA mahu memulaukan PRN dan tidak mahu membantu jentera BN PRN kali ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menambah kerjasama antara BN dan PH berada pada tahap terbaik dan menyeru semua pihak tidak perlu melayani pendapat individu.
“Kita sentiasa memegang kepada pendirian rasmi kepimpinan utama tiap-tiap parti komponen yang berada dalam BN dan juga parti dalam Pakatan Harapan,” ujarnya.- MalaysiaGazette