Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

SUBANG – Malaysia gagal mencapai kedudukan Taraf (Tier) 1 dalam Laporan Pemerdagangan Manusia Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) bagi tahun ini disebabkan ketidaktentuan landskap politik sejak beberapa tahun yang lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, faktor politik telah mengekang segala usaha kerajaan untuk mencapai status dari Tier 2 kepada Tier 1 yang mana rakyat Malaysia tidak dikehendaki memohon visa untuk melancong ke Amerika Syarikat (AS).

“Kita tak dapat mencapai status Tier 1 disebabkan pertukaran kerajaan di Malaysia yang mungkin soal untuk menaik taraf Malaysia dari Tier 3 kepada Tier 2 tidak menjadi keutamaan oleh kerajaan ketika itu,” dakwanya tanpa menamakan spesifik kerajaan tersebut dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian selepas hadir merasmikan Persidangan Pertubuhan Akademi Kebangsaan Biro Siasatan Persekutuan (FBINAA) Bahagian Asia Pasifik ke-23 di Hotel Sunway Resort hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Pada 17 Jun lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Laporan JNAS telah mengumumkan Malaysia kembali diletakkan dalam Tier 2 pada pemerhatian tahun ini.

Laporan itu menegaskan Malaysia telah mengambil inisiatif untuk memerangi pemerdagangan manusia seperti yang dikehendaki walaupun belum mencapai tahap standard minimum diperlukan.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid yakin bahawa kerjasama kerajaan dengan Polis Diraja Malaysia di bawah kepimpinan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain akan membantu memperbaiki taraf Tier selepas ini.

“Kerjasama erat PDRM dengan FBI bukan sahaja berjaya menyelesaikan jenayah rentas sempadan tetapi juga membabitkan keganasan serta jenayah ekstrimis.

“Malaysia mesti berada di garisan paling hadapan dalam membentuk kerjasama dengan FBI selain mengukuhkan kerjasama dengan seluruh negara di rantau ASEAN dan negara-negara sahabat dalam membanteras jenayah antarabangsa,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast