KUALA LUMPUR – Negara di Asia kini semakin menunjukkan tanda positif dalam peralihan ke tenaga mesra alam dan sifar karbon yang merupakan usaha tidak menolak usaha memulihara alam sekitar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun perkembangan setiap negara itu tidak sama namun banyak negara di rantau ini telah bersedia bergerak ke arah tenaga hijau.
Jelas beliau, ketika ini negara yang bergerak lebih ke depan adalah seperti China, Korea Selatan dan Jepun komited untuk mencapai sasaran karbon sifar bersih pada pertengahan abad ini selain India yang turut agresif ke arah itu.
“Tidak dinafikan terdapat negara yang masih bergelut untuk sediakan akses kepada elektrik, bahan api memasak yang bersih dan tenaga selamat sementara beberapa negara sedang bersiap sedia untuk peralihan ke tenaga lebih bersih.
“Kemampuan untuk berbuat demikian kekal menjadi kebimbangan terutamanya melibatkan negara membangun Asia.
“Di negara tersebut, rakyatnya tidak memandang terlalu jauh ke hadapan tetapi mungkin masih bergelut untuk membayar bil dan menyediakan makanan di atas meja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Energy Asia 2023: Charting Pathways for a Sustainable Asia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Tawfik dan Naib Presiden S&P Global, Daniel Yergin.
Anwar menambah, lebih daripada 75 peratus tenaga digunakan di Asia datang daripada hidrokarbon dan menjelang 2030 di mana permintaan itu dijangka berganda.
“Di ASEAN, hidrokarbon akan terus menjadi sebahagian daripada campuran tenaga untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan
pembangunan.
“Walaupun begitu, sembilan daripada 10 negara di ASEAN telah mengikrarkan sasaran Sifar Bersih pada COP26 (Sidang Kemuncak Perubahan Iklim COP26),” ujarnya.
Anwar memberitahu, Asia perlu mengambil setiap peluang untuk dialog dan tindakan susulan bagi merancang untuk membolehkan setiap negara mempunyai hak untuk pembangunan dan pada masa sama, menanam aspirasi negara rendah karbon.
“Justeru, kerajaan telah menyemak Sumbangan Nasional yang Ditentukan (NDC)untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 45 peratus menjelang 2030 berbanding 2005.
“Malaysia berazam untuk berada pada kedudukan terbaik dalam usaha memainkan peranan bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sambil memastikan bersedia untuk pertumbuhan ekonomi – Perdana Menteri,” katanya. – MalaysiaGazette