LATIHAN industri merupakan suatu bentuk proses pembelajaran. Polisi latihan industri ini biasanya dikenakan kepada pelajar diploma atau ijazah sarjana muda di universiti awam dan universiti swasta pada tahun kedua atau tahun ketiga yang mengambil masa antara empat hingga ke lapan bulan, sebagaimana keperluan program yang ditentukan oleh institusi pengajian tinggi masing-masing. Tujuan latihan industri adalah untuk memberikan pendedahan kepada para pelajar tentang suasana dunia pekerjaan di samping mempelajari ilmu dan kemahiran dalam organisasi supaya para pelajar
boleh membuat persediaan sewajarnya sebelum melangkah ke alam pekerjaan sebenar.
Selain itu, pelajar dapat mengaplikasikan ilmu yang telah dipelajari di universiti ke dalam dunia pekerjaan. Tambahan pula, pelajar dapat mempelajari perkara baharu di tempat latihan industri yang adakala ianya tidak dipelajari di universiti. Bagi penilaian latihan industri, peratusan tertentu adalah oleh penyelia di institusi atau pensyarah, penyelia di industri, buku catatan tugasan harian dan laporan latihan industri.
Penempatan latihan industri adalah suatu cabaran. Kebanyakan pelajar memohon tempat latihan industri yang berhampiran dengan tempat kediaman untuk menjimatkan kos perjalanan, kos penginapan, dan kos makan. Walaupun tempat latihan industri yang dimohon hanyalah syarikat-syarikat kecil bagi kawasan luar bandar, namun kelangsungan kehidupan dan untuk meneruskan latihan industri adalah lebih mereka diutamakan. Ada juga pelajar yang meletakkan keutamaan dalam pemilihan tempat berdasarkan kadar elaun yang akan diterima untuk menampung kos menjalani latihan industri.
Selain itu, ada yang mengutamakan tempat di syarikat-syarikat ternama dan kukuh serta tidak kurang juga yang memilih tempat jika mempunyai kenalan di dalam organisasi
berkenaan. Namun untuk jangka panjang bagi kebolehpasaran kerja graduan, ada sesetengah syarikat melihat tempat latihan industri sebagai suatu aspek penting sebelum mengambil seseorang calon itu bekerja. Sebagai calon yang baru bergraduat, tempat dan tugas latihan industri dilihat sebagai bentuk pengalaman kerja seseorang calon.
Tempat latihan industri dengan syarikat yang besar dan berprestij memberikan persepsi bahawa calon tersebut mempunyai pendedahan pengalaman kerja yang baik. Namun begitu, kebanyakan syarikat-syarikat besar seperti syarikat multinasional berlokasi di kawasan bandar atau pinggir bandar. Hal ini menyebabkan pelajar latihan industri terpaksa menyewa bilik di bandar yang memerlukan kos yang tinggi. Bukan semua pelajar bernasib baik untuk tinggal di kawasan berhampiran dengan tempat latihan industri. Sedangkan untuk mendapat tempat latihan industri juga bukan mudah. Jika resume telah dihantar ke sepuluh buah syarikat, mungkin satu atau dua syarikat sahaja yang dipanggil temuduga, bergantung kepada kekuatan maklumat dalam resume yang boleh menarik minat syarikat untuk panggilan temuduga.
Dengan aktiviti perniagaan dan operasi syarikat yang sangat sibuk, perihal pengambilan dan pemberian elaun pelajar latihan industri yang dipraktiskan selama ini adalah atas dasar pilihan dan sukarela oleh syarikat. Jika elaun latihan industri diwajibkan kepada syarikat pada kadar tertentu, maka pihak majikan akan lebih berhati-hati dalam memilih pelajar sebelum mengambilnya untuk menjalani latihan industri bagi memastikan perkhidmatan yang cemerlang dapat diberikan oleh pelajar sebagai pulangan balik bagi kos yang ditanggung syarikat. Maka persaingan antara pelajar untuk mendapat tempat latihan industri akan semakin sengit. Berkemungkinan pelajar yang mempunyai prestasi akademik yang baik, aktif dalam aktiviti kokurikulum dan mempunyai ciri-ciri
nilai insan yang baik akan dipilih. Persaingan sihat ini akan mendorong pelajar untuk memberikan prestasi yang baik dalam pelbagai perkara dari awal masuk ke institusi pengajian tinggi.
Walaupun pelajar tidak diiktiraf sebagai pekerja dalam syarikat, namun majikan boleh melihatnya sebagai rakan kolaborasi universiti untuk bersama-sama membangunkan syarikat. Bagi pelajar yang bagus, mereka dapat menyumbang idea, ilmu pengetahuan, serta kemahiran yang ada untuk mempertingkatkan produktiviti dan kualiti kerja syarikat. Selain itu, pelajar dapat mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di universiti semasa menjalani tugasan latihan industri untuk dimanfaatkan. Sebagai pelajar institut pengajian tinggi, mereka harus melakukan tugas dengan penuh tanggungjawab dan amanah di samping membawa nama baik universiti. Dari sudut yang lain, pihak majikan dapat memberikan tugasan kerja dan pengalaman baharu kepada pelajar untuk dipelajari.
Di samping pelajar melakukan tugasan kerja yang diberikan majikan dan menunjukkan minat untuk mempelajari sesuatu yang baharu, secara tidak langsung pelajar telah memberikan kerjasama sebagai rakan kolaborasi universiti serta membantu perlaksanaan kerja bersama pekerja sedia ada dalam organisasi. Dalam perkara ini, pihak majikan mendapat manfaat daripada program latihan industri.
Untuk jangka panjang, hubungan baik antara syarikat dan universiti membolehkan
kolaborasi dua hala dalam pelbagai bentuk seperti penyelidikan, konsultansi, latihan, pengajaran dan pembelajaran, seminar industri, dan sebagainya. Selain daripada pemberian markah penilaian oleh majikan di akhir tempoh latihan industri, namun kudrat usaha dan tenaga kerja yang telah disumbangkan pelajar walau hanya beberapa bulan perlu juga dipertimbangkan. Elaun latihan industri tidak harus dililhat sebagai beban kos semata-mata oleh syarikat. Meneruskan kelangsungan hidup sepanjang tempoh latihan industri perlu disokong dengan adanya pemberian elaun dengan jumlah yang wajar. Ini kerana keberadaan setiap hari pada waktu bekerja di syarikat sepanjang tempoh latihan industri memerlukan kos yang tidak dapat dielakkan.
Bukan semua pelajar bernasib baik mendapat tempat latihan industri yang berhampiran dengan tempat kediaman keluarga di mana ianya menuntut kos penginapan yang agak tinggi terutamanya di kawasan bandar. Dalam hal ini, soal elaun latihan industri merupakan suatu keperluan dan bukan sekadar kehendak. Menjalani latihan industri melibatkan kos perjalanan, kos penginapan, kos makan, kos teknologi maklumat dan komunikasi, dan kos-kos lain.
Kos hidup di dalam kampus tidak sama dengan kos hidup sebenar kerana banyak subsidi telah diberikan di dalam kampus yang menyebabkan kos makan, penginapan, dan perjalanan dalam kampus lebih murah. Dengan kehidupan dan kos sara hidup di bandar, wang yang diperoleh daripada pinjaman pendidikan atau biasiswa hanya dapat bertahan beberapa bulan dalam tempoh latihan industri. Ada pelajar yang tidak diberikan tugas yang wajar kerana ada sesetengah syarikat yang teragak-agak untuk memberikan tugasan kepada pelajar memandangkan tiada elaun yang diberikan kepada pelajar atau elaun yang diberikan terlalu rendah. Maka dalam hal ini pelajar mendapat dua kerugian iaitu tidak banyak perkara yang boleh dipelajari dan seperkara lagi ialah kesukaran untuk meneruskan kelangsungan pembelajaran kerana elaun yang diterima adalah rendah atau tidak dibayar langsung.
Namun begitu, jumlah elaun latihan industri tidak boleh disamakan dengan kadar gaji minimum golongan pekerja walau pun beban tugas adalah hampir sama. Adalah tidak wajar sekiranya pelajar membandingkan jumlah elaun dengan jumlah gaji pekerja sepenuh masa sebagai suatu bentuk penindasan. Tugasan kerja yang diberikan dalam latihan industri merupakan suatu peluang dan proses pembelajaran. Lagi banyak tugasan yang dilaksanakan, lebih banyak perkara yang boleh dipelajari, dan lebih berharga pengalaman kerja yang dimiliki. Latihan industri yang perlu dijalani pelajar adalah laluan untuk bergraduat kerana pengalaman berharga sepanjang tempoh pembelajaran termasuklah ketahanan mental, fizikal dan emosi merupakan perkara yang sangat
penting dalam menghasilkan graduan berkualiti tinggi.
Akta khusus bagi melindungi pelajar latihan industri adalah perlu. Adalah diharapkan agar pihak Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, dan juga Persatuan Majikan Malaysia (MEF) serta Kesatuan Sekerja (MTUC) dapat berbincang tentang bagaimana untuk kita merangka satu polisi yang sesuai untuk melindungi pelajar latihan industri. Antara perkara yang perlu diketengahkan dalam perbincangan ialah takrifan pelajar latihan industri, pengiktirafan sumbangan tenaga kerja pelajar, kadar minima elaun pelajar, kesesuaian tugasan yang diberikan, hak sebagai pelajar dan industri, dan isu perlindungan keselamatan dan kesihatan pelajar. Ini adalah sebagai usaha bersama dalam menghasilkan graduan
yang berkualiti bagi menjamin masa depan negara yang lebih baik.
Oleh: Dr. Elya Nabila Abdul Bahri
Pensyarah Kanan di Jabatan Ekonomi,
Fakulti Perniagaan dan Ekonomi,
Universiti Malaya